Thursday, December 16, 2010

SEHARI BERSAMA MAXIS BHD - 16 Disember 2010

JITRA, 16 Disember 2010 – Maxis Bhd dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah, dan Pejabat Pelajaran Daerah Kubang Pasu telah menganjurkan program “Sehari Bersama Maxis”. Program sehari ini telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan Padang Pekan bertujuan untuk memberikan sumbangan berupa perkakas kelengkapan sekolah dan pakaian sekolah kepada pelajar-pelajar mangsa mangsa banjir di seluruh daerah Kubang Pasu. Program ini turut dihadiri oleh YB Dato’ Haji Mohamed Taulan bin Mat Rasul, Pengerusi Agama, Pelajaran dan Koperasi Negeri Kedah selaku wakil Kerajaan Negeri Kedah juga beberapa lagi pegawai daripada Pejabat Daerah dan Pejabat Pelajaran Daerah Kubang Pasu.

Program penyampaian bantuan ini dimulakan dengan ucapan daripada Mr Jeff Chong, Timbalan Pengurus Maxis selaku wakil kepada Mr Jean-Pasval van Overbeke, Ketua Pengarah Pengurusan Maxis Bhd. Ucapan beliau yang sangat bersahaja dan penuh gurau senda sangat disenangi oleh para tetamu yang hadir. Beliau juga menegaskan bahawa pihak Maxis sentiasa perihatin terhadap pelajaran dan atas dasar itulah mereka turut terlibat dalam memberikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir tempoh hari.

Turut menyampaikan ucapan ialah YB Dato’ Mohamed Taulan selaku wakil kerajaan negeri Kedah, antara isi kandungan ucapannya ialah Kerajaan Negeri Kedah sangat mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan daripada pihak luar untuk disalurkan kepada rakyat Kedah yang memerlukan kerana menjadi kewajipan kita semua untuk turut bantu membantu dalam membela nasib saudara mara kita. Turut dimaklumkan bahawa Kerajaan Kedah telah menyalurkan bantuan kepada masyarakat di daerah Pendang pada minggu lalu diikuti beberapa tempat di Langkawi.


Penyampaian bantuan ini telah disampaikan kepada wakil Majlis Ketua Kampung (MKK) setiap kawasan yang terlibat untuk menyerahkan sumbangan kepada mereka yang berkenaan di bawah jagaan dan pantauannya. Sumbangan ini juga turut diberikan kepada semua pelajar Sek. Keb. Padang Pekan memandangkan hamper keseluruhan mereka terlibat dalam bencana banjir tempoh hari.



Bercakap dalam sidang media selepas selesai majlis penyerahan sumbangan itu, Mr Jean Pasval menyatakan bahawa sumbangan pada hari ini merupakan sumbangan terbesar yang diberikan kepada mangsa banjir kerana menelan belanja hampir RM300 000 yang telah melibatkan lebih kurang 13 000 orang penerima bantuan. Katanya lagi Maxis sentiasa komited dalam memberikan bantuan kepada masyarakat. Kenduri jamuan makan tengahari untuk 2000 orang juga turut diadakan pada hari ini. Kenduri ini juga merupakan sumbangan pihak tertentu kepada masyarakat setempat.

Sekalung ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada pihak Maxis atas sumbangan yang diberikan dan juga semua pihak yang terlibat dalam menguruskan dan menjayakan majlis sumbangan ini termasuk En. Mohd Dzohir bin Hamid, wakil PIBG, Tn Hj Ahmad bin Osman, Guru Besar Sek. Keb. Padang Pekan dan semua guru dan AJK PIBG yang terlibat. – Ku Muhyi




Wednesday, December 15, 2010

HARI ASYURA [10 MUHARRAM 1432H - 16HB DISEMBER 2010M]


Assalamualaikum....sekadar siaran ulangan..

Bukan sebab tak da idea, tapi peringatan ni berulang kali pun tak salah..yang penting apa yang kita nak sampaikan tu...

Esok merupakan hari ke 10 dalam Bulan Muharram atau lebih lebih dikenali dengan 'HARI ASYURA'. Menurut tradisi masyarakat Islam,Nabi Muhammad s.a.w melakukan puasa Asyura sejak di Makkah lagi memandangkan puasa Asyura merupakan amalan biasa masyarakat tempatan. Apabila baginda berhijrah ke Madinah, baginda turut mendapati yang kaum Yahudi turut berpuasa pada hari Asyura (atau bagi mereka adalah Yom Kippur yang juga pada hari kesepuluh). Ketika itu, baginda mengesahkan dan mensyariatkan puasa sehingga ia menjadi satu kewajiban kerana baginda merasakan masyarakat Islam lebih dekat dengan Nabi Musa. Maka sabda Nabi s.a.w, Kamu lebih berhak terhadap Musa daripada mereka maka berpuasalah. [Hadis riwayat Imam al-Bukhari.]

Ibn Hajar al-asqalani, dalam pernyataannya terhadap Sahih Bukhari mengatakan yang syariat puasa telah dijadikan kepada bulan Ramadhan setahun kemudian. Kini, masyarakat Islam melakukan puasa pada 10 Muharram sebagai amalan sunat dan bukan kewajiban.

Dalam Islam, disunnatkan berpuasa pada hari ini seperti mana yang dinyatakan dalam sebuah riwayat Bukhari dan Muslim -

[Daripada Aisyah: "Sesiapa ingin berpuasa (sunat 10 Muharram) maka bolehlah dia berpuasa. Dan sesiapa yang tak ingin berpuasa maka boleh dia tinggalkan".]

Malah dalam sebuah hadith RIWAYAT MUSLIM Nabi berpuasa pada 10 Muharram kerana pada hari tersebut diselamatkan Nabi Musa a.s daripada lemas dan juga daripada buruan Firaun.


Terdapat banyak fadhilat dan kelebihan yang telah diberikan oleh Allah pada Hari Asyura dan sebagai seorang muslim kita amat digesa dalam mencari dan memanfaatkan fadhilat-fadhilat yang telah diberikan sempena Hari Asyura ini.

Baginda bersabda: "Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya". Riwayat Muslim.


Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda : " Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) maka Allah S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah S.W.T akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Aasyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka."


Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W : " Ya Rasulullah S.A.W, adakah Allah telah melebihkan hari Asyura daripada hari-hari lain?".

Maka berkata Rasulullah S.A.W : " Ya, memang benar, Allah Taala menjadikan langit dan bumipada hari Asyura, menjadikan laut pada hari Asyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura,menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Asyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Aasyura, dan Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Aasyura,Allah S.W.T menenggelamkan Fir'aun pada hari Aasyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub a.s pada hari Aasyura, Allah S.W.T menerima taubat Nabi Adam pada hari Aasyura,Allah S.W.T mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Aasyura, Allah S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Aasyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Asyura !".

Dapat kita ringkaskan dan simpulkan bahawa terdapat amalan-amalan sunat yang dinyatakan berdasarkan hadis-hadis di atas antara yang boleh diamalkan ialah:

1. Melapangkan masa / belanja anak dan isteri

2. Memuliakan fakir miskin

3. Menahan marah

4. Menunjukkan jalan yang lurus/membetuli orang sesat/orang yang salah(terpesong aqidah(tauhid) dan akhlaknya)

5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim(menghormati dan memuliakan mereka)

6. Bersedekah

7. Memelihara kehormatan diri

8. Mandi Sunat dengan lafaz niatnya: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."

9. Bercelak

10. Membaca Qulhuwallah(Surah al-Ikhlas) hingga akhir seribu kali

11. Menjamu orang berbuka puasa

12. Puasa Sunat Asyura dengan niatnya dibaca Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala

Oleh kerana orang Yahudi juga berpuasa pada 10 Muharram maka disunatkan umat Islam berpuasa sejak 9 Muharram lagi bagi membezakan dengan puasa orang Yahudi. Hadith ini dikhabarkan oleh Ibnu Abbas dalam sebuah hadith riwayat Muslim dan Abu Daud.

Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berselisihlah dengan orang Yahudi di dalamnya, dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya.
[Hadis riwayat Imam Ahmad.
]

Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyyah: Susunan (kelebihan) puasanya ada tiga, yang paling sempurna ialah puasa (dimulakan) sehari sebelumnya dan sehari selepasnya, berikutnya (boleh juga) puasa pada hari kesembilan (Tasu’a) dan kesepuluh (Asyura), terdapat banyak hadis dalam perkara ini, berikutnya pula (boleh juga) puasa pada 10 Muharam sahaja.

Bagi mereka yang berkesempatan dan berkemampuan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu Hari Tasu’a (9 Muharram) maka bolehlah berpuasa pada hari berikutnya iaitu pada 11 Muharram sekadar nak membezakan antara amalan orang Yahudi dan ibadat orang Islam.

Antara peristiwa-peristiwa besar yang menjadi sejarah di sebalik Hari Asyura ini ialah:

1) Hari pertama Allah menciptakan alam, menurunkan rahmat dan hujan

2) Allah menjadikan 'Arasy dan Luh Mahfuz.

3) Allah menjadikan Malaikat Jibril.

4) Nabi Adam a.s. dicipta.

5) Diampunkan dosa Nabi Adam a.s. setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah.

6) Nabi Idris a.s. diangkat darjatnya oleh Allah dan Malaikat Izrail membawanya ke langit.

7) Diselamatkan Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya dari banjir besar selama enam bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan.

8) Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di kawasan pedalaman dan terselamat dari buruan Raja Namrud.

9) Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan Allah dari api Raja Namrud.

10) Nabi Yusuf a.s. dibebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama tujuh tahun.

11) Nabi Yaakub a.s. telah sembuh buta matanya ketika kepulangan anaknya Yusuf di hari tersebut.

12) Nabi Ayub a.s. disembuhkan dari penyakitnya.

13) Nabi Musa a.s. telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah.

14) Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s..

15) Nabi Yunus a.s. selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.

16) Kesalahan Nabi Daud a.s. diampuni Allah.

17) Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan Allah kerajaan yang besar.

18) Nabi Isa a.s. diangkat ke syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib baginda.

19) Saidina Hussein ibni Ali telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di Karbala oleh tentera khalifah Bani Umaiyah iaitu Khalifah Yazid.

Rasulullah s.a.w. tidak pernah memerintahkan amalan ibadah lain untuk dikhususkan sempena hari Asyura melainkan ibadah berpuasa sebegini sahaja.

Oleh itu sebaik-baiknya kita berusaha untuk mengamalkan sunah Nabi s.a.w. Semoga kita semua memperoleh manfaat daripada sedikit ilmu untuk diamalkan ini.

Wallahu’alam...

Kisah lima perkara aneh

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah s.w.t. bahawa,

"Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Kedua semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.

Ketiga jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

Keempat jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.

Kelima bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah s.w.t., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

Sunday, December 12, 2010

Bengkel Strategik MPM UTM 2010

Assalamualaikum w.b.t & salam sejahtera...

Alhamdulillah...

Setelah sekian lama tidak berkesempatan untuk mengemaskini blog dek kerana kekangan tuntutan tugas dan tanggungjawab yang lain sepanjang sebulan lepas terutamanya dalam meyiapkan Projek Sarjana Muda (PSM) 1 dan juga persediaan peperiksaan semester 7 akhirnya diberi peluang untuk terus mencoret dalam ruang ini. Terasa sedikit lapang dan lega apabila berjaya selesaikan juga PSM 1 dan tamat perperiksaan semester 7 yang lalu walaupun pada hakikatnya peperiksaan kali ini tak mampu nak berikan ‘performance’ yang terbaik. Mungkin kesan akibat gangguan luar atau juga faktor dalaman dalam diri. Apa yang penting peperiksaan yang lalu memberikan muhasabah kepada diri ini agar terus istiqamah dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab; sebagai seorang mahasiswa muslim, pemimpin mahasiswa, dan juga sebagai seorang anak agar tidak mengecewakan harapan ibu bapa di rumah. Saki baki cuti yang ada sedikit sebelum buka semester akan nanti akan cuba dimanfaatkan sebaiknya untuk meneruskan ‘progress’ untuk PSM 2.

Hari ini telah masuk hari kedua Bengkel Strategik MPMUTM yang merupakan pengisian program ‘campus stay’ sepanjang cuti semester kali. ‘Campus Stay’ merupakan program anjuran MPMUTM yang melibatkan semua MPM yang dijalankan sepanjang cuti bagi merangka dan melaksana gerak kerja sepanjang tahun sesi kepimpinan termasuk juga dalam merangka dan merancang program sepanjang tahun.

Bagi sesi “campus stay’ kali ini, MPMUTM memberi fokus dalam Bengkel Strategik yang mana bengkel ini diisi dengan bengkel perancangan semula dasar bagi merangka semula perlembagaan dan polisi kepimpinan yang dibawa oleh MPMUTM memandangkan sebelum ini belum ada perlembagaan khusus bagi MPMUTM dalam menjalankan gerak kerja. Di samping itu, persediaan bagi menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Jemaah YDP MPP IPTA yang akan diadakan pada 17-19hb Disember 2010 juga turut dijalankan.

Melalui bengkel ini, sedikit sebanyak dapat belajar tentang apa itu perlembagaan, mengapa perlu ada perlembagaan, bagaimana perlembagaan itu digubal dan proses-proses yang terlibat dalam merangka perlembagaan. Memang agak pelik apabila majoriti kepimpinan MPMUTM merupakan ahli dalam bidang kejuruteraan terpaksa duduk memerah otak dalam merangka hal-hal berkaitan undang-undang dan perlembagaan, tapi itulah peluang dan ilmu yang sangat berguna yang dapat ditimba kali ni.

Pada asasnya, perlembagaan ditakrifkan sebagai prinsip asas yang mengasaskan sesebuah negara dan memperkenalkan sistem pemerintahan seperti yang termaktub sama ada dalam undang-undang atau adat perundangan. Perlembagaan adalah sejenis undang-undang yang mengandungi
peraturan-peraturan yang boleh dikuatkuasakan. Dalam merangka perlembagaan MPMUTM, apa yang perlu kita jelas ialah apa VMO dan gagasan yang dibawa oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM), Universiti Teknologi Malaysia dan Hal Ehwal Mahasiswa UTM itu sendiri agar apa yang dirangka tidak lari daripada gagasan dan wawasan nasional. Apa yang lebih penting ialah Perlembagaan yang dirangka mestilah mengikut Seksyen 52 Perlembagaan Universiti dan mengikut garis panduan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Kami dipecahkan dalam beberapa kumpulan bagi memberikan fokus yang lebih jelas dalam merangka perlembagaan ini agar sudut perbincangan lebih tertumpu dan setiap kumpulanperlu membuat pembentangan bagi setiap Fasal yang diberi tanggungjawab. Saya bersama beberapa orang perwakilan yang lain termasuk Saudara Nur Azim Fahada (N.P Fakulti), Saudara Mohd Ariff Makhfudz (K.J JPPI), Saudari Khairina ‘Izzati (exco JAKERIS) dan Saudari Nor Aida Yusof (exco JPAK) diberi tugas untuk melengkapkan Fasal 4 dan 5 iaitu Fasal berkaitan Mesyuarat dan juga portfolio setiap jawatan dan perwakilan. Memang terasa amat berat tugasan ini nak dibincang dengan kekuatan ‘otak’ 5 orang tapi inilah tanggungjawab dan kepercayaan yang diberi. Antara apa yang turut dipertanggungjawabkan ialah Lembaga Disiplin MPMUTM, yang juga diberi kepercayaan kepada kami. InsyaAllah sedaya upaya kami pikul tanggungjawab ini.

Banyak manfaat yang diperoleh daripada bengkel ini, walaupun ada suara luar yang berkata mengapa perlu MPMUTM nak buat semua benda ni, bagi je la HEMA yang uruskan. Ya, apa yang penting ialah “MPM tu merupakan hak mahasiswa, maka biarlah mahasiswa yang mencorak dan memberi bentuk kepada MPM itu menggunakan acuan mahasiswa dengan panduan HEMA.” MPM bukan sekadar melaksana apa yang direncana oleh universiti tetapi dalam masa yang sama membawa agenda pembangunan mahasiswa. Alhamdulillah, satu ilmu baru yang dapat dipelajari dan apa yang diharapkan ialah apa yang dirangka dan direncana kali ni dapat digunakan oleh sesi kepimpinan akan datang demi kebaikan mahasiswa bersama.

InsyaAllah, apa yang dapat dipelajari kali ni akan dimanfaatkan sebaiknya kelak, mudah-mudahan apa yang diperoleh dapat dikongsi oleh mereka-mereka yang tak berkesempatan di luar sana.

sekadar ini sahaja yang sempata dicoret kali ini. sesi pagi ni akan diteruskan dengan sambungan perbincangan dan InsyaAllah pada tengahari nanti akan diadakan sesi pembentangan.

Wallahu'alam...

Tuesday, November 9, 2010

JENTERA KEBAJIKAN MAHASISWA TURUN KE KEDAH

JENTERA KEBAJIKAN MAHASISWA DIPERLUKAN DI KEDAH.......

WARGA KAMPUS YANG BERKELAPANGAN DIALU-ALUKAN UNTUK BERSAMA DALAM PROGRAM INI.

13hb NOVEMBER 2010 (SABTU)

jam 8.00am Berkumpul di Kolej Universiti INSANIAH

pertanyaan: hubungi NAZRI (013-3566430)

"bersama kita bantu mereka yang memerlukan bantuan....bantulah sekadar dengan apa yang mampu...kalau tak mampu nak bantu dengan wang ringgit, bantulah dengan upaya kudrat yang ada.....moga beban yang berat terasa ringan"

Tuesday, October 12, 2010

Sekadar Ingatan Bersama ::Pencuri Kain Kafan & Tujuh perkara ganjil.

Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t.

Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."

" Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, " Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari
ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya.Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"

Pemuda itu menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat
perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu." " Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.

" Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah itu, " Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."

" Golongan kelima, ku lihat ada pula
mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. " Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari.Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.

" Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat
mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya," " Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.

" Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Wallahua'lam..

Moga-moga kita mati dalam keadaan 'husnul khatimah' dan tergolong dalam golongan yang terakhir..golongan yang memperoleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s.w.t... Ameen..