Wednesday, June 30, 2010

Iblis Datang Mengganggu Ketika Sakaratul Maut

Syaitan dan Iblis akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan. Hadith Rasulullah SAW. menerangkan:
Yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan syaitan di waktu maut.”

Rombongan 1
Akan datang Iblis dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Iblis itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.


Rombongan 2
Akan datang Iblis kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.


Rombongan 3
Akan datang Iblis mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan Kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.


Rombongan 4
Akan datang Iblis merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya


Rombongan 5
Akan datang Iblis merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Iblis, berkata dengan rayu-merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga.” Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.


Rombongan 6
Akan datanglah Iblis merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu.” Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula Iblis yang menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?” Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: “Aku tidak tahu.” Berkata ulamak Iblis: “Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi.
Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu patuh kepada kami.” Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Iblis bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu: “Bagaimanakah Zat Allah?” Iblis merasa gembira apabila jeratnya mengena. Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu.” Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.


Rombongan 7
Rombongan Iblis yang ketujuh ini Iblis terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad SAW bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat. Ketahuilah bahawa Iblis itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut. Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah.”

Tuesday, June 29, 2010

Program HedStart

17 Jun 2010, Satu perjumpaan telah diaturkan dan disertai oleh pihak Mircosoft, pihak Prestariang (Microsoft Reseller), pihak HEMA, CICT dan MPMUTM.

Program ini merupakan satu program yang julung-julung kali diadakan. Oleh hal yang demikian, Universiti Teknologi Malaysia, UTM menjadi
pioneer program Microsoft HEdStart di mana mahasiswa boleh menggunakan perisian komputer Microsoft yang terkini.

Antara pakej yang ditawarkan ialah:
1. Live@edu
2. MSDNNAA
3. Microsoft Office 2010
4. Microsoft IT Academy
5. Dream Spark

Tujuan program ini adalah seperti berikut:

Menyedarkan mahasiswa bahawa kepentingan hak cipta.

Mewujudkan suasana yang menyerupai suasana perkerjaan supaya mahasiswa dapat menyesuaikan diri dalam pekerjaan. (sistem perhubungan yang berasas e-mail ). Majoriti syarikat dan koporat telah menggunakan sistem ini sebagai peralatan asas komunikasi.

Mewujudkan hubungan dua hala antara pentadbiran universiti dengan mahasiswa. Pentadbiran Universiti termasuk MPM akan menggunakan email ini dalam menyampaikan sebarang maklumat kepada mahasiswa dan mendapatkan maklum balas atau sebaliknya dengan kadar yang cepat dan cekap.

Harga pakej adalah sebanyak RM 180. Kos ini termasuk perisian operating system (windows), Microsoft Office, dan applikasi perisian Microsoft yang lain.

Tambahan daripada program HEdStart, satu kumpulan mahasiswa akan dilantik sebagai Microsoft Ambassador yang mana mereka akan dilatih untuk berkhidmat dengan mahasiswa dalam urusan pemasangan perisian Microsoft. Krew Microsoft Ambassador akan diberikan sijil daripada Microsoft yang mana apabila mereka berhasrat untuk berkerja dengan Microsoft nanti, mereka akan diberikan keutamaan terdahulu. Krew ini tidak terhad kepada Mahasiswa IT sahaja, pihak Microsoft juga memerlukan mahasiswa dari pelbagai bidang.


Thursday, June 24, 2010

JURU DAKWAH YANG TIDAK GENTAR

Kekalahan umat Islam dalam perang Uhud menyebabkan bangkitnya kemarahan orang-orang Badwi di sekitar Madinah untuk mencemuh dan mengungkit-ngungkit dendam lama yang sebelumnya sudah terpendam. Namun tanpa curiga sedikit pun Nabi Muhammad s.a.w. memberikan sambutan baik atas kedatangan sekelompok pedagang Arab yang menyatakan keinginan sukunya hendak mendengar dan memeluk Islam. Untuk itu mereka meminta para jurudakwah dikirimkan ke kampung suku itu. Rasulullah s.a.w meluluskan. Enam orang sahabat yang alim diutus untuk melaksanakan tugas tersebut. Mereka berangkat bersama para pedagang Arab itu.


Di kampung Ar-Raji, dalam wilayah kekuasaan suku Huzail, para pedagang itu tiba-tiba melakukan pengurangan atas keenam sahabat Rasulullah s.a.w, sambil berseru meminta bantuan kaum Huzail. Keenam pendakwah itu dengan pantas menghunus senjata masing-masing dan siap mengadakan perlawanan, setelah insaf bahawa mereka tengah dijebak. Para pedagang yang licik tadi berteriak, "Sabar saudara-saudara. Kami tidak bermaksud membunuh atau menganiayai kalian. Kami cuma mahu menangkap kalian untuk kami jual ke Makkah sebagai budak belian. Keenam sahabat Rasulullah s.a.w itu tahu nasib mereka bahkan lebih buruk daripada terbunuh dalam pertarungan tidak berimbang itu. Kerana mereka segera bertakbir seraya menyerang dengan tangkas.

Terjadilah pertempuran seru antara enam pendakwah berhati tulus dengan orang-orang yang beringas yang jumlahnya jauh lebih besar. Pedang mereka ternyata cukup tajam. Beberapa orang lawan telah menjadi korban. Akhirnya tiga sahabat tertusuk musuh dan langsung gugur. Seorang lagi dibaling batu beramai-ramai hingga tewas. Bakinya tinggal dua orang; Zaid bin Addutsunah dan Khusaib bin Adi.
Apalah daya dua orang pejuang, betapa pun lincahnya perlawanan mereka, menghadapi begitu banyak musuh yang tangguh? Selang beberapa saat sesudah jatuhnya empat sahabat tadi, kedua orang itu dapat dilumpuhkan dan belenggu. Lalu mereka diangkut menuju pasar budak di Makkah. Zaid dibeli oleh Shafwan bin Umayyah. Ayah Shafwan, Umayyah bin Khalaf, adalah majikan Bilal dan Amir bin Fuhairah. Umayyah terkenal sangat kejam kepada budak-budaknya. Bilal pernah disalib di atas pasir dan dijemur di tengah terik matahari dengan badan ditindihi batu. Untung Bilal ditebus oleh Saiyidina Abu Bakar Assidiq dan dimerdekakan. Orang Habsyi ini kemudian terkenal sebagai sahabat dekat Rasulullah s.a.w. dan diangkat sebagai Muazin, tukang azan.

Dalam perang Badar, Umayyah bin Khalaf berhadap-hadapan dengan bekas budaknya itu. Dan Bilal berhasil membunuhnya dalam pertempuran yang sengit satu lawan satu. Adapun Khubaib bin Adi diambil oleh Uqbah bin Al-Harits dengan tujuan yang sama seperti maksud Shafwan membeli Zaid bin Abdutsunah. Iaitu untuk membalas dendam kebencian mereka kepada umat Islam. Maka oleh orang-orang Quraisy, Zaid diseret menuju Tan'im, salah satu tempat untuk miqat umrah. DI sanalah Zaid akan dijalani hukuman pancung, buatkan sesuatu yang ia tidak pernah melakukannya, iaitu terbunuhnya Umayyah bin Khalaf, ayahanda Shafwan. Menjelang algojo menetak parangnya, pemimpin kaum Musyrikin Abu Sufyan bertanya garang, "Zaid bedebah, apakah engkau senang seandainya di tempatmu ini Muhammad, sedangkan engkau hidup tenteram bersama keluargamu di rumah ?"

"Janganlah begitu," bantah Zaid dengan keras. "Dalam keadaan begini pun aku tidak rela Rasulullah s.a.w. tertusuk duri kecil di rumahnya." Abu Sufyan menjadi marah. "Bereskan," teriaknya kepada algojo. Dalam sekelip mata, sebilah parang berkilat di tengah terik matahari dan darah segar menyembur keluar. Zaid bin Abdutsunah gugur setelah kepalanya dipotong, menambah jumlah penghuni syurga dengan seorang syuhada' lagi. Di hati Abu Sufyan dan orang-orang Quraisy lainnya timbul kehairanan akan kesetiaan para sahabat kepada Muhammad. Sampai tergamam di bibir Abu Sufyan ucapan kagum, "Aku tidak pernah menemukan seorang yang begitu dicintai para sahabat seperti Muhammad."

Sesudah selesai pemancungan Zaid, datang pula rombongan lain yang menyeret Khubaib bin Adi. Sesuai dengan hukum yang berlaku di seluruh Tanah Arab, kepada pesalah yang dijatuhi qisas mati diberikan hak untuk menyampaikan permintaan terakhir. Demikian juga Khubaib. Juru dakwah yang bestari ini meminta izin untuk solat sunnah dua rakaat. Permohonan tersebut dikabulkan. Dengan khusyuk dan tenang, seolah-olah dalam suasana aman tenteram tanpa ancaman kematian, Khubaib melaksanakan ibadahnya sampai selesai. Setelah salam dan mengangkat dua tangan, ia berkata, "Demi Allah. Andaikata bukan kerana takut disangka aku gentar menghadapi maut, maka solatku akan kulakukan lebih panjang."

Khubaib disalib dahulu lalu dihabisi sepertimana dilaksanakan ke atas Zaid bin Abdutsunah. Jasadnya telah lebur sebagaimana jenazah lima sahabatnya yang lain. Namun semangat dakwah mereka yang dilandasi keikhlasan untuk menyebarkan ajaran kebenaran takkan pernah padam dari permukaan bumi. Semangat itu terus bergema sehingga makin banyak jumlah pendakwah yang dengan kekuatan sendiri, atas biaya peribadi, menyelusup keluar-masuk pedalaman berbatu-batu karang atau berhutan-hutan belantara buat menyampaikan firman Tuhan menuju keselamatan.

Saturday, June 19, 2010

REJAB BULAN BARAKAH

"FADHILAT BULAN REJAB - dalam sedar atau tidak sedar bulan Rejab kembali lagi. Ia merupakan bulan yang sangat dimuliakan di dalam Islam. Banyak hadis Rasulullah S.A.W. yang telah diriwayatkan oleh para sahabat Baginda mengenai kelebihan bulan Rejab, bulan ketujuh di dalam kalendar Islam. Rejab bermaksud ta'azim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana Allah S.W.T. akan melimpahkan rahmat-Nya, kemurahan-Nya dan Ruangan Bimbingan Rohani kali ini menyorot fadhilat bulan Rejab dan beberapa hadis Rasulullah S.A.W. berkenaan dengannya.


FADHILAT BULAN REJAB
Bulan Rejab kembali lagi. Ia merupakan bulan yang sangat dimuliakan di dalam Islam. Banyak hadis Rasulullah S.A.W. yang telah diriwayatkan oleh para sahabat Baginda mengenai kelebihan bulan Rejab, bulan ketujuh di dalam kalendar Islam. Rejab bermaksud ta'azim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana Allah S.W.T. akan melimpahkan rahmat-Nya, kemurahan-Nya dan Ruangan Bimbingan Rohani kali ini menyorot fadhilat bulan Rejab dan beberapa hadis Rasulullah S.A.W. berkenaan dengannya.

Amalan terbaik di dalam bulan Rejab ini ialah berpuasa. Maksud hadis Rasulullah S.A.W. tentang kelebihan berpuasa di dalam bulan Rejab adalah seperti berikut:

Puasa 1 hari - Seperti berpuasa 40 tahun dan mendapat keredhaan Allah serta syurga tertinggi.

Puasa 2 hari - mendapat kemuliaan besar daripada Allah dan dilipatgandakan pahalanya.

Puasa 3 hari - dijauhkan dugaan dunia oleh Allah, dijadikan sebuah parit panjang yang menghalangnya ke neraka,

Puasa 4 hari - diselamatkan daripada siksaan akhirat kelak serta fitnah Dajjal.

Puasa 5 hari - aman dari azab kubur.

Puasa 6 hari - dibangkitkan dari kubur dengan muka bercahaya.

Puasa 7 hari - Allah mengunci 7 pintu neraka jahannam baginya.

Puasa 8 hari - Allah membuka 8 pintu syurga baginya.

Puasa 9 hari - keluar dari kuburnya lalu menyeru "Laailahaillallah" dan tidak ditolak dia dari memasuki syurga.

Puasa 10 hari - Allah memperkenankan semua permintaan dan hajatnya, dijadikan hamparan perhentian di titian Siratul Mustaqim setiap satu batu dan dijadikan 2 sayap untuk terbang seperti kilat di titian Siratul Mustaqim.

Puasa 13 hari - Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 3,000 tahun.

Puasa 14 hari - Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 10,000 tahun.

Puasa 15 hari - Allah mengampunkan semua dosanya yang lalu di samping menggantikan amalan kejahatan dengan amalan kebaikan. Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 100,000 tahun.

Puasa 16 hari - dapat melihat wajah Allah di dalam syurga dan orang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.

Puasa 19 hari - Dibina sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Adam.

Puasa 20 hari - Allah mengampunkan segala dosanya yang lalu, dan melakukan amalan baik dengan baki umurnya.


Sesiapa yang berpuasa 3 hari dalam bulan Rejab dan beribadat pada malamnya seperti dia berpuasa 3,000 tahun, diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar setiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawa dari jasadnya, 70 hajat ketika di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Al-Quran dinaikkan ke langit), 70 hajat ketika ditimbang amalannya di Mizan, dan 70 hajat ketika melalui titian Siratul Mustaqim.

Berpuasa pada 27 Rejab (Hari Israk dan Mikraj) seperti berpuasa 60 bulan pahalanya, jika disertai dengan sedekah seumpama puasa 1,000 tahun.

Dapat meminum air sungai yang dinamakan Rejab yang mana airnya lebih putih dari susu, lebih manis daripada manisan, lebih dingin dari salji.

Setiap umat Islam yang berpuasa di bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumur hidupnya. Tambahan bersedekah seperti beribadat seribu kali haji dan umrah. Dibina untuknya seribu mahligai dengan seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali.

Sedekah di bulan Rejab seumpama sedekah seribu dinar, dituliskan kepada tiap-tiap helai bulu romanya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat dan dihapuskan seribu kejahatan serta dijauhkan daripada api neraka.

Orang yang lemah dari berpuasa di bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari, sekurang-kurangnya sebuku roti.

Kelebihan lain bulan Rejab:

Di dalam bulan lain Allah membalas amalan umat-Nya 10 kali, tetapi di dalan bulan Rejab Allah akan membalas amalan umat-Nya 70 kali.

Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali di dalam bulan Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka.

Rejab bulan Allah, Sya'aban bulan Rasulullah. S.A.W, Ramadhan bulan umat Rasulullah S.A.W.

Rejab adalah bulan menabur benih, Sya'aban bulan menyiram tanaman manakala Ramadhan bulan menuai.

Amalan di dalam bulan Rejab menyucikan badan, Sya'aban menyucikan hati manakala Ramadhan menyucikan roh.

Rejab adalah bulan maghfirah (keampunan), Sya'aban bulan syafaat manakala Ramadhan bulan menggandakan kebajikan.

Rejab adalah bulan taubat, Sya'aban bulan muhibbah manakala Ramadhan bulan dilimpahi pahala amalan yang banyak.

Pahala amalan baik di dalam bulan Rejab diganda 70 pahala, Sya'aban diganda 700 pahala dan Ramadhan diganda 1,000 pahala.


Beberapa amalan lain yang baik dilakukan dalam bulan Rejab:

Menyucikan diri daripada dosa dengan bertaubat dan memohon ampun


Membersihkan hati yang lalai dan alpa melalui amalan istighfar dan zikir

Mendekatkan diri kepada Allah dengan menunaikan solat

Memohon keselamatan dan kesejahteraan dengan berselawat dan berdoa kepada-Nya

Menginsafkan diri dengan membaca kisah teladan perjuangan Rasulullah S.A.W. dan sirah Islam lain.


Peristiwa penting yang telah berlaku dalam bulan Rejab:

Israk dan Mikraj (27 Rejab)

Solat 5 waktu difardukan ke atas umat Islam (Malam Israk Mikraj)

Perang Tabuk terjadi di dalam tahun ke-9 Hijrah.

Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj adalah sebuah peristiwa di mana Nabi Muhammad S.A.W telah di"israk"kan (dibawa berjalan) dari Kota Mekah ke Baitul Muqaddis serta di"mikraj"kan (dibawa naik ke atas) ke Sidratul Muntaha untuk mengadap Allah S.W.T di mana Solat 5 waktu telah difardukan ke atas umat Islam melalui Rasulullah S.A.W. Semuanya berlaku di dalam satu malam sahaja. Firman Allah SWT:

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

(Surah Al Israa': 1)

DOA BULAN REJAB:

"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan bulan Sya'aban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. Aku bermohon keampunan Allah yang Maha Agung dan tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri dan aku bertaubat kepada-Nya. Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang patut disembah kecuali Engkau yang mencipta aku. Aku adalah hamba-Mu dan aku dalam genggaman-Mu. Aku dalam perjanjian (beriman dan taat) kepada-Mu sekadar kemampuan yang ada padaku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang (mungkin) aku lakukan. Aku mengakui atas nikmat yang engkau berikan kepadaku dan mengakui dosa-dosaku. Kerana itu aku memohon keampunan-Mu dan sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa seseorang kecuali Engkau Ya-Allah."


Istighfar paling baik dalam bulan Rejab:

Maksudnya: "Aku bermohon keampunan Allah yang Maha Agung dan tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri dan aku bertaubat kepada-Nya."

Kesimpulannya, bulan Rejab merupakan sebuah bulan yang banyak keistimewaannya yang dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada umat-Nya, kerana Rejab adalah bulan Allah. Pintu rahmat terbuka luas kepada umat-Nya untuk bertaubat dan memohon ampun di atas dosa-dosa yang lepas. Namun begitu, suka diingatkan bahawa kita perlu mengerjakan segala amalan yang dituntut ini dengan sifat ikhlas, rendah diri dan tawwaduk agar ganjaran yang akan diperolehi itu ada keberkatannya.

Beramallah menurut kemampuan masing-masing, jika tidak dapat melaksanakannya janganlah ditinggalkan semuanya.

Sabda nabi:

"sampaikan dariku walaupun satu ayat"



Friday, June 18, 2010

MESYUARAT BERSAMA BADAN KEBAJIKAN PEMANDU TEKSI UTM (BKPT UTM)

Mesyuarat bersama Badan Kebajikan Pemandu Teksi UTM (BKPT UTM) telah diadakan pada 16hb Jun 2010, Rabu lalu pada jam 9.00 am bertempat di Dewan Kuliah 4, P19. Turut menghadiri mesyuarat itu ialah Tuan Haji Muzakir (Pengerusi BKPT UTM) dan pemandu-pemandu teksi UTM serta beberapa orang wakil Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) UTM antaranya Wan Ahmad Hazman Bin Wan Daud (N.P Aktiviti), Mohamad Ariff Bin Makhfudz (Pengerusi JPPI), Ku Abd Muhyi Bin Ku Abd Hamid (Pengerusi JKPK), Mohammed Amirul Asyraf Bin Hasnan (Timb Pengerusi JKPK), dan Iskandar Zulkarnain Bin Mohamad Idris ( Exco JPKP)

Mesyuarat bersama BKPT UTM ini diadakan sekali dalam masa dua tahun. Untuk sesi kali ini telah diadakan slot bersama MPMUTM selama lebih satu jam. Dalam sesi bersama MPM UTM ini telah diadakan sesi perkongsian dan perbincangan bersama berkenaan permasalahan tentang perkhidmatan teksi di UTM. Sesi perbincangan dibuka oleh saudara Hazman dengan memberi aluan daripada wakil MPM UTM dan seterusnya dikendalikan oleh saya sendiri selaku pengerusi JKPK.

Beberapa perkara telah ditimbulkan dalam perbincangan ini ialah berkenaan cadangan-cadangan penambahbaikan perkhidmatan teksi UTM. Antaranya ialah:

  1. Pihak teksi menyediakan borang aduan & komen di dalam teksi supaya pengguna boleh memberikan komen terhadap servis yang diberikan.
  2. Pihak BKPTUTM mengadakan mesyuarat agung secara tahunan dan memberikan anugerah kepada pemandu-pemandu teksi yang cemerlang perkhidmatannya.
  3. Pihak pemandu teksi menyediakan wang tukaran kecil termasuk wang syiling supaya memudahkan urusan pembayaran tambang dan tidak lagi timbul isu pemandu menggenapkan bayaran tambang kepada nilai yg lebih tinggi.
  4. Pihak BKPTUTM mempunyai pengenalan sendiri pada teksi bagi memudahkan penumpang membezakan antara teksi UTM atau teksi luar.

Sepanjang sesi perbincangan dan perkongsian ini terdapat beberapa isu yang diketengahkan oleh pihak pengusaha teksi yang sememangnya perlu diambil perhatian memandangkan perkhidmatan yang mereka sediakan berkait rapat dengan mahasiswa. Antara perkara ditimbulkan ialah:

  1. Masalah mahasiswa menunggu teksi tetapi tidak sampai ke lokasi yang ditunggu. Pemandu sampai ke tempat menunggu tetapi tiada orang, penumpang suka panggil teksi ‘last minute’ dan lambat turun daripada kolej.
  2. Mahasiswa tidak memahami kadar tambang yang dikenakan jika muatan lebih dibawa di dalam bonet kereta dan maksimum hanya 4 orang penumpang yang boleh naik dalm satu-satu masa.
  3. Bagaimana nak wujudkan sistem aduan diperingkat dalaman kampus supaya pengguna tidak terus buat aduan kepada LPKP. Kadang-kadang kesalahan di pihak penumpang tetapi pemandu teksi yang dikenakan tindakan oleh LPKP atas aduan yang dibuat.
  4. Meter teksi akan bermula dengan kadar RM3.00 sebaik sahaja tiba di lokasi penumpang menunggu dan kebanyakan pelajar antarabangsa tidak tahu akan perkara ini dan menganggap mereka ditipu oleh pemandu teksi.
  5. Meter akan bermula sebaik sahaja teksi tiba di tempat yang dijanjikan bukan sebaik sahaja penumpang masuk ke dalam teksi. Oleh itu, penumpang diingatkan supaya menunggu teksi di tempat yang dijanjikan bagi mengelakkan kadar meter meningkat.
  6. Cas tambahan dikenakan kepada penumpang yang ingin memindahkan barang-barang yang banyak dengan menggunakan teksi atas budi bicara pemandu teksi tersebut.
  7. Cadangan untuk menetapkan harga mengikut destinasi di dalam kampus dan tempat-tempat penting. Walaubagaimanapun akan dibawa ke mesyuarat bersama pihak Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni.
  8. Terdapat penumpang di kalangan mahasiswa terutamanya pelajar antarabangsa yang melakukan perkara sumbang dan salah laku sosial semasa berada di dalam teksi termasuk minum minuman keras, berpelukan antara lelaki dan perempuan.
  9. Terdapat penumpang dikalangan mahasiswa yang bersikap kurang ajar dan biadab terhadap pemandu tetapi pemandu tidak ada saluran untuk membuat aduan.
  10. Masalah masa antara penumpang dan pemandu teksi. Perlu ada perjanjian antara pemandu dan penumpang tentang masa untuk sampai ke lokasi menunggu. Masa yang diselaraskan ialah 12minit,sekiranya selepas 12minit teksi masih belum sampai penumpang boleh memanggil teksi lain.

Berdasarkan hasil dalam sesi perkongsian dua hala ini pihak MPMUTM akan terus mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Pejabat HEMA dan BKPTUTM bagi memastikan tahap perkhidmatan teksi di UTM berada di tahap yang amat baik. Dinasihatkan kepada para mahasiswa yang menggunakan perkhimatan teksi supaya menggunakan perkhidmatan teksi oleh BKPTUTM bagi mendapatkan servis yang terbaik.

Beberapa makluman yang berguna untuk para pengguna yang menggunakan perkhidmatan teksi BKPTUTM:

1. Pemandu teksi dari BKPTUTM memakai pakaian seragam putih dengan logo persatuan di hadapan baju sebelah kiri.

2. Bagi penumpang teksi BKPTUTM, anda boleh mendapatkan resit tambang teksi daripada pemandu teksi tersebut.

3. Cas permulaan pada meter teksi adalah RM3.00 dan cas tambahan RM1.00 jika menggunakan bonet kereta untuk meletak barang.

4. Meter akan mula sebaik sahaja teksi tiba di lokasi menunggu, bukan sebaik teksi berjalan. Pastikan penumpang menunggu teksi bukan teksi menunggu penumpang.

5. Maksimum penumpang dalam satu-satu masa ialah 4 orang sahaja.

6. Sebarang aduan berkenaan perkhidmatan teksi oleh BKPTUTM boleh terus diajukan kepada pihak Jabatan Kebajikan dan Pelestarian Kampus Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) UTM





Disediakan oleh

KU ABD MUHYI BIN KU ABD HAMID
Pengerusi

Jabatan Kebajikan dan Pelestarian Kampus

Majlis Perwakilan Mahasiswa

Universiti Teknologi Malaysia

Kumuhyi.mpputm@gmail.com


Wednesday, June 16, 2010

Setinggi-tinggi Tahniah Kami Ucapkan

Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM ingin mengucapkan tahniah kepada Universiti Teknologi Malaysia kerana telah diiktiraf sebagai Unversiti Penyelidikan.

Seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dalam perbentangan Rancangan Malaysia ke-10 pada tarikh 10 jun lalu, Universiti Teknologi Malaysia telah terpilih sebagai salah sebuah Universiti Penyelidikan untuk proaktif menyediakan ekosistem inovasi.
Status Universiti Penyelidikan (RU) diperkenalkan untuk memberi peluang yang lebih besar kepada mahasiswa meneroka idea-idea baru, menjalankan eksperimen dan kajian dengan lebih berinovasi, mengambil inisiatif bijak untuk meneruskan penerokaan kajian dan mengembangkan pengetahuan yang sedia ada.
Misi sebagai Universiti Penyelidikan adalah untuk menjadikan universiti sebagai medan perkembangan bangsa dimana penyelidik dan pelajar bertukar idea disamping bersama-sama menjalankan penyelidikan dalam persekitaran yang lebih konduksif kearah meningkatkan kualiti hidup.
Universiti Penyelidikan mempunyai 9 fokus utama untuk mencapai visi dan misi yang telah dinyatakan iaitu menjadi pemimpin dalam inovasi, untuk menghasilkan kejayaan pada peringkat yang lebih tinggi, untuk menghasilkan dapatan kajian berkelas antarabangsa, untuk menjadi pusat kecemerlangan dalam prioriti bangsa, untuk menghasilkan kesan yang lebih jelas dalam penerbitan penyelidikan, untuk menarik dan menghasilkan graduan berkelas tinggi, untuk menghasilkan minda yang terbaik untuk pengajaran dan penyelidikan, untuk menyediakan perekitaran yang lebih konduksif bagi menjalankan penyelidikan dn yang terakhir untuk memperkukuhkan cadangan penyelidikan daripada industri Negara.
Harapan kami sebagai pihak Majlis Perwakilan Mahasiswa supaya Universiti Teknologi Malaysia dapat melahirkan graduan yang mempunyai modal insan yang tinggi dalam konteks penyediaan pengalaman profesional dan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Klik di sini untuk mengetahui dengan lebih banyak lagi berkenaan UTM sebagai Universiti Penyelidikan.