Tuesday, August 16, 2011

Kerajaan KEDAH tumpukan program pembangunan sahsiah remaja

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri tetap memberikan tumpuan dalam usaha meningkatkan sahsiah di kalangan remaja serta belia di negeri ini dengan menganjurkan pelbagai program.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB Dr. Hamdan Mohamed Khalib berkata, program-program yang diadakan itu dijalankan mengikut daerah-daerah di negeri ini.

"Antara program yang dijalankan ialah penganjuran sukan permotoran di Sungai Petani baru-baru ini dalam usaha memberikan keyakinan dan semangat kepada golongan remaja dan juga belia" ujarnya.

Menurutnya, program yang bersesuaian juga turut dijalankan di peringkat daerah dalam usaha menarik minat golongan remaja dan belia untuk menyertainya.

"Kita ingin mendidik golongan remaja dan belia untuk membabitkan diri dalam bidang yang bermanfaat seperti program sukan dan kebudayaan." jelasnya.

Dr. Hamdan menjelaskan, usaha memajukan program belia di negeri ini perlulah dipertingkatkan dalam usaha membantu golongan belia memajukan diri.

"Apa yang penting, kita ingin melihat golongan belia mampu meningkatkan keupayaan diri dengan program-program yang berupaya memberikan kebaikan kepada mereka." katanya.

MAJLIS BERBUKA PUASA, TERAWIH & TAHLIL ASSAK MERIAH!!





Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera...
Salam Ramadhan buat semua, moga kita diberikan kekuatan untuk terus beribadat dalam bulan yang penuh barokah ni..

Dalam kesibukan Ramadhan ni, memang akan jadi kebiasaan masyarakat kita ni untuk mengadakan Majlis Berbuka Puasa (Iftar), terawih dan pemberian sumbangan. Tak terlepas juga Persatuan Alumni Sains Kedah (ASSAK) kerana turut menganjurkan program Majlis Berbuka Puasa, Terawih dan Tahlil kali ke-8 tahun ni pada 13hb Ramadhan 1423H/ 13 Ogos 2011 yang lalu.

Program ni bertempat di Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa dan telah melibatkan penyertaan dan sambutan yang menggalakkan daripada alumni bermula dari tahun 1973 hinggalah yang terbaru 2010. Kalau nak dikira-kira anggaran peserta yang hadir keseluruhannya mencecah 200 orang dan termasuk juga cikgu-cikgu dan staf-staf sekolah yang telah lama berkhidmat di sini dari zaman awal pembukaan sekolah lagi. Antara cikgu2 yang dah pencen yang turut hadir ialah Cikgu Ali dan Cikgu Raof ( yang lain tak kenal)..

Program bermula seawal jam 5.00 petang dengan sesi pendaftaran kehadiran di Dewan Besar Sekolah. Di sini juga dibuka kaunter pendaftaran ASSAK bagi sesiapa yang belum mendaftar sebagai ahli ASSAK. Disebabkan tak bawa duit yang mencukupi untuk daftar ASSAK, terpaksa la sekali lagi tangguh nak daftar ahli ASSAK. InsyaALlah lain kali ada peluang lagi la.


Program ni diteruskan dengan sesi bergambar bersama semua yang hadir di depan dewan sebelum masuk waktu berbuka. Sebaik azan berkumandang, semua yang hadir berbuka dengan memakan kurma. Selesai berbuka tu, semua peserta solat maghrib berjemaah bersama dengan adik-adik pelajar sekarang ni di Surau Al-Falah yang diimamkan oleh Ust Abdul Kadir. Selepas selesai solat, jemaah semua ke Dewan Makan bagi menikmati juadah yang lebih berat. Bila makan ramai2 ni teringat la pulak zaman dalam sekolah dulu, berebut-rebut nak ambik makanan. Bila dah senior, 'cutting line' adik2 pulak. dah tu ambik double lagi..







Masuk waktu Isyak, semua kembali ke surau untuk Solat Isyak dan terawih. Solat Isyak diimamkan oleh Cikgu Ali Ahmad dan Solat Terawih pula diimamkan oleh Saudara Mohamad Sanusi Mohd Noor, Setiausaha Politik Ust Azizan, MB Kedah. Dia pun ahli ASSAK jugak. Selesai 8 rakaat terawih diikuti solat sunat witir, Majlis diteruskan dengan Majlis Penyampaian Sumbangan ASSAK kepada pelajar. Setiap pelajar memperoleh senaskah Surah Yaasiin sumbangan Saudara Izham Yusof, CEO Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) yang juga merupakan Presiden ASSAK. Majlis diteruskan lagi dengan bacaan Yasiin dan tahlil dikhalifahkan oleh Haji Zubir selepas pelajar tingakatan 5 dan 3 ke kelas prep memandangkan mereka ni ada 'trial-exam'. Bacaan Yasiin dan tahlil ni dihadiakan khusus buat 61 orang bekas guru dan pelajar yang telah kembali ke rahmatullah.

Selesai bacaan tahlil, ada sedikit acara penyampaian cenderahati ringkas daripada pihak ASSAK kepada Cikgu Pesol (jugak Ahli ASSAK) selaku wakil pihak sekolah. Lepas tu, sebagai acara penutup program diteruskan dengan moreh yang disponsor jugak oleh ASSAK. Sambil makan boleh beramah mesra dengan senior dan jugak 'super-senior' memang meriah. Kagum bila melihat abang2 dan kakak2 yang dah berjaya dalam karier masing2 tak kisah la dalam bidang korporat, perniagaan, doktor, engineer, politik dan sebagainya. Tak kurang jugak yang usia boleh kira tahap pakcik makcik tapi tetap supporting layan kami macam kawan2 ja.. Antara part yang best ialah masa nak balik, selesai bersalaman dengan cikgu dan senior2, kami pun singgah la kat Nasi Kandar Makbul sebelum balik. Tak disangka jumpa balik geng2 depa ni kat sana.. Maka ada yang kata senior ka junior ka memang sekepala la..last2 kedai mamak jugak depa layan~


Sdr. Izham (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Cikgu Pesol (kanan)

mai dah jadi alumni pun dok berebut lagi nak ambik makanan

InsyaAllah, akan datang dalam tempoh terdekat ASSAK akan menganjurkan program sambutan Aidilfitri, tapi rasanya tak dapat nak pi la kali ni sebab buat kat KL. Kalau dekat insyaAllah boleh pi. Apa-apapun, memang jadi kenangan yang indah bila dapat kembali ke sekolah dan dapat mengeratkan kembali ukhwah sesama rakan se-'batch' yang setelah sekian lama tak jumpa disamping dapat berkenalan dengan adik-beradik ASSAK yang lain. Semoga ukhwah kita kerana Allah akan terus berkekalan semoga ASSAK terus maju jaya..

Wassalam...

bergambar kat Tasik Sekolah dengan geng2 Optima0105


Tuesday, August 9, 2011

TAHUKAH ANDA RAKYAT KEDAH DENGAN 9 PERKARA INI?

  1. Kerajaan negeri berjaya meningkatkan hasil kutipan premium balak sebanyak RM53 juta pada tahun 2010 sehingga mendapat pujian dalam Laporan Ketua Audit Negara (2009)
  2. Buat pertama kali dalam sejarah negeri Kedah, ekoran perancangan startegik yang dilaksanakan, Defisit Belanjawan 2010 sebanyak RM16 juta telah berjaya diatasi.
  3. Bagi yang belum mengetahui, Menteri Besar dan Exco telah membuat pemotongan gaji dan elaun secara bulanan ke Tabung Tunku Mahmud. Pengurangan elaun mesyuarat juga dilakukan bagi MB dan Exco yang menjadi anggota Lembaga Pengarah anak-anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC).
  4. GLC pula buat pertama kali dalam sejarah negeri Kedah telah berjaya menyumbangkan semula sejumlah RM30 juta kepada kerajaan negeri.
  5. Kerajaan negeri 'rela' kerugian kira-kira RM50 juta setahun semata-mata tidak mahu mebebankan rakyat apabila mengurangkan kadar cukai tanah 25 sehingga 75 peratus sebaik megambil-alih pemerintahan.
  6. Untuk rekod, elaun perbelanjaan dan tuntutan sebelum ini (sebelum Pakatan Rakyat memerintah) mencecah sehingga RM 7 juta setahun berbanding kini tidak sampai RM 2 juta setahun.
  7. Melibatkan sekolah agama rakyat yang tidak dibantu kerajaan pusat, kerajaan negeri sering menyumbang dana sejak 2008 kepada sekolah terbabit secara tahunan malah melalui Tabung Tunku Mahmud, hasrat membantu pendidikan agama dan kemiskinan di Kedah dapat direalisasikan.
  8. Kelas-kelas pengajian agama juga telah dilaksanakan di kebanyakan tempat termasuklah di kediaman Rasmi MB di Seri Mentaloon pada setiap Sabtu, Bangunan Menara Zakat dan pusat-pusat pengajian tradisional (pondok) yang mendapat sambutan ribuan peserta.
  9. Kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan kepentingan kaum lain khususnya melibatkan perayaan agama dan aktiviti budaya masyarakat berbilang kaum. Untuk itu telah diperuntukan RM1.5 juta kepada masyarakat Cina, India dan Siam bagi aktiviti yang berkaitan. Selain itu, sejumlah RM180,000 telah diberikan kepada 3 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Persendirian manakala RM200,000 untuk lebih 20 sekolah cina yang menghadapi masalah bil tertunggak kerana tidak dibantu Kementerian Pelajaran.

Dapatkan Laporan Pencapaian "Kedah Sejahtera" Manifesto Kerajaan Kedah dalam bentuk pdf.


Klik pada gambar di bawah





Monday, August 8, 2011

KEPADA CENDEKIA SOLIDAR



Kita wajar ikhlas murnikan sumber kuasa bangsa,
menghakis label-label bongkak yang disusup puaka;
Kini para bangken sedang berlindung di sebaliknya,
dengan media gergasi pertajam taring dusta

Cendekia muda kini tenaga tulus dan waja,
semakin cekal bangkit sebagai wewira perobah.
Mereka tangani kuasa cemar berlendir dosa,
berazam melawannya demi mengharum satu era.

Pening gas dan pedih air mencemar dekad merdeka:
kuasa bobrok ghairah merongrong demokrasi luka.
Kita wajar mensyahdukan benih kuasa yang sakti
dan dengan khusyuk mendeklamasi puisi berani

Semua ini lara, dan kita tetap menyembuhkannya.
Ya, kita dakapi demokrasi tulen seakrabnya.


A Samad Said


Puisi ini telah dideklamasikan oleh Pak Samad sempena Majlis Pelancaran Kempen 'Jom Baca Media Alternatif' di Kuala Lumpur Chinese Assembly Hall (KLSCAH) pada 7 Ogos 2011 yang lalu..




RAMADHAN DAN KELEBIHANNYA!!


"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa"
(Al-Baqarah - 183)


Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya’ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.
-Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.
- Diriwayat oleh imam Nasai’e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.
- Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).
-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.
-Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-


PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.


Madrasah Ramadhan mengajar kita menjadi hamba Allah yang bertaqwa...

Sumber

1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-’Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.



"Selamat Menjalani Ibadah di Sepanjang Bulan Ramadhan, semoga kita sama-sama peroleh ganjaran yang berlipat kali ganda...Rebutlah peluang di sepanjang Ramadhan, awalnya Rahmat , pertengahannya Maghfirah dan penghujungnya pembebesan dari Api neraka..."