Saturday, July 2, 2011

PAHLAWAN NERAKA

Assalamualaikum wbt~
Bismillahirrahmanirrahim...Alhamdulillah..setelah sekian lama blog ni bersawang dek kerana kekangan-kekangan tugasan sejak kebelakangan lalu. Sempat jugak saya curi masa untuk tulis sikit-sikit kat sini supaya tak terus bersawang.. [^_^]

Macam - macam sebenarnya nak tulis dalam blog ni..tapi ya lah kan..antara sibuk, buat-buat sibuk dan menyibuk.. yang mana satu pun tak tahu lah..sampaikan tak sempat nak menulis.. mungkin jiwa ini bukan jiwa penulis sejati kot.. hehe =)

Kali ini saya nak bawakan satu kisah sirah yang berlaku pada zaman Rasulullah saw yang mana kisah ini menceritakan tentang seorang pahlawan yang hebat berjuang tetapi pengakhirannya di neraka. Sebab apa ya???
Haa..ambil sikit masa ikuti kisah ni....

Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di antara pihak Islam dengan pihak Musyrik. Kedua-dua belah pihak berjuang dengan hebat untuk mengalahkan antara satu sama lain. Tiba saat pertempuran itu diberhentikan seketika dan kedua-dua pihak pulang ke markas masing-masing.

Di sana Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat telah berkumpul membincangkan tentang pertempuran yang telah berlaku itu. Peristiwa yang baru mereka alami itu masih terbayang-bayang di ruang mata. Dalam perbincangan itu, mereka begitu kagum dengan salah seorang dari sahabat mereka iaitu, Qotzman. Semasa bertempur dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor singa yang lapar membaham mangsanya. Dengan keberaniannya itu, dia telah menjadi buah mulut ketika itu.

"Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan Qotzman," kata salah seorang sahabat.

Mendengar perkataan itu, Rasulullah pun menjawab, "Sebenarnya dia itu adalah golongan penduduk neraka."

Para sahabat menjadi hairan mendengar jawapan Rasulullah itu. Bagaimana seorang yang telah berjuang dengan begitu gagah menegakkan Islam boleh masuk dalam neraka. Para sahabat berpandangan antara satu sama lain apabila mendengar jawapan Rasulullah itu.

Rasulullah sedar para sahabatnya tidak begitu percaya dengan ceritanya, lantas baginda berkata, "Semasa Qotzman dan Aktsam keluar ke medan perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka parah akibat ditikam oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera Qotzman meletakkan pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu ke dalam dadanya."

"Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan menanggung kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri. Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan masuk syurga. Tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka."

Menurut Rasulullah S.A.W lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada mengatakan, katanya, "Demi Allah aku berperang bukan kerana agama tetapi hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan berperang."

Riwayat ini telah dirawikan oleh Luqman Hakim.

Begitulah kisah kehebatan keperwiraan Qotzman yang menjadi sebutan para sahabat yang lain tetapi pada hakikatnya perjuangannya tidak diterima Allah dan matinya dia sebagai ahli neraka. Rata-rata kita boleh tengok di media-media kat negara kita ni, tak habis-habis dengan slogan Hidup Melayu lah.."kami rela mati demi pertahankan Melayu" lah..cerita-cerita permusuhan antara kaum. Dan semangat kebangsaan yang melampau yang akhirnya mencetus semangat assobiah...kaum aku hebat!kaum engkau hanya tumpangan..tak cukup dengan itu, dikecam kepada muslimin yang bersepakat dan bersatu padu dengan orang bukan Islam atas dasar kemanusiaan dan keamanaan..

Sedarlah mereka diluar sana..buang keangkuhan bangsamu di dunia ini kerana tingkat-tingkat Syurga Allah tidak disusun mengikut bangsamu...berjuanglah demi menegakkan kalimah ALLAH serta mendaulatkan Islam.. Semoga menjadi pedoman dan pengajaran buat kita semua..


" Kemenangan ALLAH adalah kemenangan hakiki..berjuanglah kerana ALLAH di landasan agamaNya..nescaya kita akan memperoleh kemenangan itu..."






Monday, May 16, 2011

Selamat Hari Guru kepada semua guru se-Malaysia

Assalamualaikum w.b.t...

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah atas kurniaan nikmat iman dan islam kepada kita hingga hari ini yang membolehkan kita untuk terus berkhidmat kepadaNya.

Seperti biasa pada tanggal 16Mei pada setiap tahun merupakan Hari Guru yang disambut di setiap sekolah di seluruh Malaysia tidak kira samada peringkat kebangsaan, negeri, daerah mahupun sekolah sambutannya akan diadakan. Bergantung kepada kreativiti penganjur samada nak menganjurkan sambutan berbentuk perarakan, sukaneka, perhimpunan dan macam-macam lagi. Pada waktu ni juga lah ramai adik-adik di sekolah akan minta pada mak ayah untuk beli hadiah bagi pada cikgu, masing-masing akan bertanding hadiah siapa paling hebat dan paling mahal. Tak cukup dengan itu maka bertanding juga kad ucapan siapa paling cantik dan paling kreatif. Itulah yang difahami oleh adik-adik sekolah rendah.

Beralih pada sekolah menengah, rata-rata pelajarnya makin matang dan mula belajar tentang erti sambutan Hari Guru, maka semua tu bukanlah perkara utama yang dibuat sempena sambutan Hari Guru. maka dibuatlah kenduri doa selamat dan sedikit jamuan kesyukuran. Diberikan layanan umpama raja sepanjang hari. Tapi mungkin juga masih ada segelintir yang agaknya kurang faham erti sebenar sambutan Hari Guru itu. apa yang dibuat di sekolah rendah masih dibuat di sekolah menengah, kononnya ini lah amalan tradisi untuk Hari Guru. wahh, macam tu pun ada ya..

Tak banyak yang diinginkan sebagai hadiah oleh seorang guru melainkan anak-anak muridnya berjaya dalam hidup masing-masing. Itu sudah cukup menggembirakan mereka berbanding hadiah yang kita berikan sempena sambutan Hari Guru, tapi tak bermaksud menyambutnya itu salah. Meraikan dan memuliakan seorang guru itu besar pahalanya. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud "para ulama itu adalah pewaris para nabi" dan " martabat seorang guru itu menghampiri martabat seorang nabi". Maka semestinya kita memuliakan mereka semua terutamanya para ulama yang sentiasa menjadi guru kepada umat Islam dalam menyelesaikan persoalan dan permasalahan agama. Mereka inilah golongan yang sepatutnya paling awal dimuliakan.

Namun realiti hari ini amat menyedihkan apabila guru dihina dan dicerca sewenang-wenangnya bahkan kadang kala dimuatkan dalam akhbar dan berita tentang waris saman guru, pelajar belasah guru, kenderaan guru disabotaj bahkan macam-macam lagi. Di mana letaknya kemuliaan seorang guru? sekadar satu hari sambutan sudah cukup? Sedih bila lihat keadaan lebih parah bila ibu bapa meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada guru di sekolah untuk mendidik anak-anak mereka hinggakan mereka sendiri mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa, masakan boleh ada pelajar sekolah menengah yang masih belum tahu mengaji, bahkan tidak pernah solat. tidak kurang yang tidak pernah tahu apa itu Islam sedangkan namanya Islam. Salah siapakah semua ini? Sebab itu tanggungjawab seorang guru sangat berat sekarang. Mereka bukan hanya mendidik anak muridnya, bahkan mereka umpama ibu bapa yang mencorakkan anak-anak bangsa kita. Jika dulu, seorang ibu kalau hantar anaknya ke sekolah pasti dibekalkan sebatang rotan kepada guru itu dididik anaknya itu hingga berjaya. Tapi kini, baru dicubit dah diserang dengan parang. Mulianya pengorbanan seorang guru.

Selamat Hari Guru kepada semua guru yang pernah mengajar saya selama ini, bermula dengan Cikgu Nomi di Taski Abim Taman Sri Melati, Selayang. Cikgu Sofiah, PASTI AL-FATHONAH Kampung Lubuk Kawah, Cikgu-cikgu di Sekolah Kebangsaan Anak-anak Angkatan Tentera, Kem Tok Jalai, Cikgu-cikgu Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani Kedah, para pensyarah Kolej Matrikulasi Perlis dan juga Universiti Teknologi Malaysia. Tak lupa juga pada semua kenalan, dan kawan-kawan yang sudah menjadi guru dan bakal menjadi guru. Teruskanlah usaha murni anda semua, jangan sesekali pernah menyesal kerana menjadi seorang guru. Biar kita tak dimuliakan di dunia, asalkan di akhirat kita di muliakan. Didiklah anak-anak bangsa dengan nilai Islam dan Iman sebenar agar generasi akan datang dapat membentuk sebuah masyarakat Islam yang Rabbani. Bersabarlah dalam menjalani ujian sebagai seorang guru. Kemulianmu di puncak. Seorang murid akan hilang gelaran muridnya bila tamat pengajian, seorang peguam akan hilang panggilannya bila habis perkhidmatannya, tapi seorang guru akan kekal menjadi seorang guru buat selamanya..


Sajak ini merupakan karya Usman Awang, dedikasi khas buat semua para guru seluruh Malaysia


BERBURU ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


USMAN AWANG
1979


Selamat Hari Guru

"Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara"


Universiti Teknologi Malaysia ~ 4 tahun (alhamdulillah dah selesai...)

Kolej Matrikulasi Perlis~ 1Tahun..penuh kenangan~

Sek Men Sains Sultan Mohd Jiwa~ 5 Tahun, disinilah pemimpin dilahirkan~ berilmu dan berbudi

SKAAT~ 6Tahun [penuh ragam zaman kanak2]

PASTI ~ 1Tahun...belajar tentang didikan agama..



Friday, April 29, 2011

MENANGISLAH...KERANA TAKUTKAN ALLAH

Assalamualaikum wbt...Bismillahirrahmanirrahiimm.................

Sekadar perkongsian di pagi hari yang mulia hari Jumaat... [^_^]

Bila sebut soal menangis ja mesti kaitkan dengan perempuan, jiwa yang halus, mudah tersentuh, sensitif.. bila sebut lelaki ja..maka jawabnya "apa barang nangis2 ni, x macho la", hati keras, tahan lasak...kononnya~ bila masanya orang selalu menangis? frust sebab putus cinta? kehilangan orang tersayang? gagal dalam peperiksaan? ditimpa sakit? tangisan duka atau tangisan gembira? itu yang sering jadi pertanyaan...


Sejauh mana pula kita menangis kerana takutkan ALLAH? Sekurang-kurangnya menangis taubat kepada ALLAH.. Menangis kerana takutkan ALLAH akan lahir dari hati-hati hambaNya yang sentiasa berpaut pada kecintaan serta kebergantungannya pada ALLAH. Selagi mana kita meletakkan dunia bertakhta di hati, siang malam ingatkan dunia, maka makin jauh la kita dengan rasa takut dan cinta pada ALLAH.. Dibawakan satu kisah yang menceritakan tentang hebatnya tangisan umat Muhammad yang takutkan ALLAH hingga bisa memadamkan api neraka.


Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."


Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.


Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."


Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut."


Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)


Sebaik saja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi saja yang akan berkata, "Umatku, umatku.

"

Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."


Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W"


Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.


Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.



Telah bersabda Rasulullah S.A.W, " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata."


Moga dengan apa yang dikongsikan ini dapat dijadikan iktibar dan juga pedoman kita bersama. Sama-sama kita tingkatkan ilmu, iman dan amal kita mudah-mudahan menjadi hambaNya yang bertaqwa, InsyaAllah...

[^_^]Wallahualam~


Friday, April 22, 2011

MABUK DALAM CINTA TERHADAP ALLAH


Dikisahkan dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali bahwa pada suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di hadapan seorang pemuda yang sedang menyiram air di kebun. Bila pemuda yang sedang menyiram air itu melihat kepada Nabi Isa a.s berada di hadapannya maka dia pun berkata, "Wahai Nabi Isa a.s, kamu mintalah dari Tuhanmu agar Dia memberi kepadaku seberat semut Jarrah cintaku kepada-Nya."


Berkata Nabi Isa a.s, "Wahai saudaraku, kamu tidak akan terdaya untuk seberat Jarrah itu."


Berkata pemuda itu lagi, "Wahai Isa a.s, kalau aku tidak terdaya untuk satu Jarrah, maka kamu mintalah untukku setengah berat Jarrah."


Oleh kerana keinginan pemuda itu untuk mendapatkan kecintaannya kepada Allah, maka Nabi Isa a.s pun berdoa, "Ya Tuhanku, berikanlah dia setengah berat Jarrah cintanya kepada-Mu." Setelah Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun berlalu dari situ.


Selang beberapa lama Nabi Isa a.s datang lagi ke tempat pemuda yang memintanya berdoa, tetapi Nabi Isa a.s tidak dapat berjumpa dengan pemuda itu. Maka Nabi Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang di tempat tersebut, dan berkata kepada salah seorang yang berada di situ bahwa pemuda itu telah gila dan kini berada di atas gunung.


Setelah Nabi Isa a.s mendengat penjelasan orang-orang itu maka beliau pun berdoa kepada Allah S.W.T, "Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang pemuda itu." Selesai saja Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun dapat melihat pemuda itu yang berada di antara gunung-ganang dan sedang duduk di atas sebuah batu besar, matanya memandang ke langit.


Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi salam, tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa berkata, "Aku ini Isa a.s." Kemudian Allah S.W.T menurunkan wahyu yang berbunyi, "Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan manusia, sebab dalam hatinya itu terdapat kadar setengah berat Jarrah cintanya kepada-Ku. Demi Keagungan dan Keluhuran-Ku, kalau engkau memotongnya dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak mengetahuinya."


Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu.


1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia.


2. Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia ingin mendapat sanjungan dari manusia.


3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.


Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Akan datang waktunya umatku akan mencintai lima lupa kepada yang lima :


1. Mereka cinta kepada dunia. Tetapi mereka lupa kepada akhirat.


2. Mereka cinta kepada harta benda. Tetapi mereka lupa kepada hisab.


3. Mereka cinta kepada makhluk. Tetapi mereka lupa kepada al- Khaliq.


4. Mereka cinta kepada dosa. Tetapi mereka lupa untuk bertaubat.


5. Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah. Tetapi mereka lupa kepada kubur."


Di mana letaknya diri kita sebagai hamba ALLAH SWT? adakah kita benar-benar melaksanakan peranan dan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya? Jangan sandarkan cinta pada dunia melebihi cinta kita padaNya. Andai kita gilakan dunia, maka ingatlah hari akhirat..Andai kita cintakan harta, maka ingatlah pada hitungan hisab ALLAH di Mahsyar kelak..Andai kita cintakan sesama makhluk, maka letakkanlah dahulu cinta pada Penciptanya.. Andai kita sering berbuat dosa, maka selalulah bertaubat.. Andai kita cintakan harta, ia bukan teman kita di dalam kubur...semoga kita terus istiqamah dan tingkatkan iman dan amal kita sebagai hambaNya...


Wallahualam~