Tuesday, October 12, 2010

Sekadar Ingatan Bersama ::Pencuri Kain Kafan & Tujuh perkara ganjil.

Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t.

Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."

" Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, " Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari
ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya.Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"

Pemuda itu menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat
perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu." " Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.

" Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah itu, " Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."

" Golongan kelima, ku lihat ada pula
mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. " Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari.Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.

" Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat
mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya," " Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.

" Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Wallahua'lam..

Moga-moga kita mati dalam keadaan 'husnul khatimah' dan tergolong dalam golongan yang terakhir..golongan yang memperoleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s.w.t... Ameen..

Tuesday, October 5, 2010

3 GOLONGAN PEROSAK MUSLIM

Sesungguhnya di dalam Al-Quran terdapat banyak pengajaran daripada kisah-kisah yang telah diceritakan dan terdapat cerita yang diulang-ulang. Pengulangan kisah ini bukan bermaksud Allah kekurangan `modal`. Akan tetapi pengulangannya itu mengandungi pengajaran untuk kita semua menghayatinya. Seperti ayat 13 surah Ali Imran yang bermaksud:

"Sesungguhnya dalam kisah-kisah itu terdapat ibrah, pengajaran bagi orang-orang yang berfikir"

Melalui peristiwa-peristiwa yang terdapat di dalam Al Quran, Allah ingin menunjukkan tiga sifat perosak kepada manusia ataupun jin.

Pertama ialah sikap sombong seperti kisah penciptaan Nabi Adam a.s yang mana Iblis tidak mahu menyembah Adam lalu berkata:

''Aku lebih baik daripada dia, aku diciptakan daripada api, sedangkan dia diciptakan daripada tanah."

Sifat sombong adalah kerana menolak kebenaran dan memandang rendah kepada orang lain. Dosa sifat ini tidak akan diampunkan oleh Allah sehngga kita bertaubat. Rasullullah pernah bersabda yang bermaksud:

"Tidak masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan''.

Sebagai contoh, negara akan kacau jika penguasanya merasa lebih terhormat dan mulia berbanding dengan rakyat yang dipimpinnya. Jika penguasa berasa diri mereka hebat sehingga merasakan tidak perlu saranan apa lagi kritikan maka perasaan inilah yang membinasakan Firaun dan Namrud seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran. Penguasa yang bengis dan sombong, di telunjuknya adalah hukuman dan di mulutnya pula adalah undang-undang. Ertinya tanpa ada pilihan lain, rakyat terpaksa tunduk dan patuh kepada penguasa yang zalim. Sehinggalah penguasa yang tidak melaksanakan perintah Allah ini akan dihancurkan oleh kerana perbuatan diri sendiri.

Di dalam surah Al Nahl ayat 23 pula:"Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong."

Sifat perosak kedua pula adalah serakah . Sifat ini menjadikan manusia sentiasa tidak cukup dengan apa yang ada pada dirinya. Di dalam Al-Quran telah dinyatakan kisah Nabi Adam dan Hawa yang mana Allah telah memberikan pelbagai kemudahan, kesenangan dan kenikmatan yang tiada tandingan di syurga kecuali janganlah mereka memakan buah kuldi. Larangan ini dilanggar yang akhirnya mendatangkan kemurkaan Allah. Apa yang hendak disampaikan di sini bukanlah keburukan Adam akan tetapi adalah sifat serakah yang mengheret Adam dan Hawa dari singgahsana syurga.

Sifat ketiga adalah hasad . Di dalam quran, diceritakan kisah Qabil membunuh saudaranya Habil kerana hasad dengkinya terhadap Habil yang mempunyai seorang isteri yang lebih cantik. Sifat hasad menyebabkan seseorang memandang apa yang dimiliki orang lain sentiasa lebih menarik daripada yang dimilikinya.Sebagai contoh, ketika jirannya memiliki sebuah kereta baru, maka tergelegaklah hatinya. Pertama-tamanya ia akan mengembangkan sifat su'uzannya,dengan penuh selidik ia menyangka bahawa ianya dari usaha yang tidak halal. Seterusnya orang yang bersifat hasad merasakan tidak suka orang lain mendapat nikmat dan rezeki, sehinggakan ada yang sanggup untuk memusnahkan nikmat itu.

Rasulullah bersabda: "Waspadalah terhadap hasad, sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala seperti api memakan kayu".

Penyakit hati amat berbahaya. Apabila hati sentiasa gelisah jika orang lain mendapat kebahagiaan. Orang yang bersifat hasad juga amat berbahaya kerana dia akan melakukan apa-apa jenayah untuk melenyapkan nikmat yang diberikan Allah kepada orang lain. Setiap negara dan bangsa mengandungi tiga golongan terbabit,iaitu penguasa,pengusaha dan rakyat jelata. Jika penguasanya sombong, pengusahanya serakah, dan rakyatnya iri hati maka hancurlah negara tersebut.

KEMPEN BUMI HIJAU & KITAR SEMULA


Sama - sama kita menjayakan Kempen Bumi Hijau & Kitar Semula anjuran Jab Kebajikan dan Pelestarian Kampus, Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM...

Antara aktiviti yang menarik sepanjang Kempen ini....

KEMPEN BUMI HIJAU
1) MINI PAMERAN ;

• 11 – 13 OKT 2010 : DI LOBI PSZ
• 14 – 15 OKT 2010 : B11 FAB
• 16 OKT 2010 : DATARAN AGORA, UTM


2) PERTANDINGAN MENGUMPUL BAHAN KITAR SEMULA;
• 14 -15 OKT 2010 : SEKITAR UTM
• TERBUKA KEPADA SEMUA WARGA UTM
• KATEGORI BAHAN KUTIPAN : KERTAS, PLASTIK, BOTOL KACA
• HADIAH DISEDIAKAN : 1st – RM200.002nd – RM150.003rd – RM100.00


3) “EARTH HOUR” ;
• 13-15 OKT 2010 : PERINGKAT KOLEJ
• WAKTU 11.00 am – 12.00pm
• DILAKSANAKAN SECARA BERPERINGKAT MENGIKUT KOLEJ
13 Okt 2010 (Rabu) KRP, KTF, KTR, KTHO, KTDI DAN Kolej 11 11 pagi - 12 tengahari
14 Okt 2010 (Khamis) KDSE, KDOJ, KTGB 11 pagi - 12 tengahari
15 Okt 2010 (Jumaat) Kolej 9, Kolej 10, KTC, Kolej Perdana 11 pagi - 12 tengahari


4) PELANCARAN KEMPEN BUMI HIJAU DAN KITAR SEMULA;
• 16 OKT. 2010 ; DATARAN AGORA
• 8.00 PAGI HINGGA 10.00PAGI



5) FORUM PEERLESTARIAN DAN BUMI HIJAU
• 16 OKT. 2010 : DEWAN BANQUET UTM
• 10.30 PAGI HINGGA 12.30TGH HARI

"Kampus Lestari, Warga Bestari"

Tuesday, September 28, 2010

JAMUAN HARI RAYA AIDILFITRI PMI UTM 2010

JAMUAN HARI RAYA AIDILFITRI bersama
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UTM

DEWAN MERDEKA, KOLEJ RAHMAN PUTRA
AHAD (3HB OKT 2010)
BAYARAN HANYA RM5

***DIGALAKKAN BAWA KUIH RAYA BERSAMA [^_^]***

DIJEMPUT HADIR KEPADA SEMUA MUSLIMIN MUSLIMAT MAHASISWA UTM SEKALIAN.....

"SYAWAL DIRAI, UKHWAH TERPATRI"

Friday, September 24, 2010

Kes "Rosmah Puaka" : Semua tertuduh dibebaskan


Kuala Lumpur, 24 Sept: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memutuskan tiada prima facie dalam kes Rosmah 'bini puaka' terhadap lima mahasiswa Universiti Malaya (UM).

Sehubungan itu, Hakim Rozana Ali Yusoff mengarahkan mereka - yang berdepan dengan tuduhan cubaan melakukan khianat dengan menggunakan api dan melakukan pencerobohan jenayah - dibebaskan.

Rozana membuat keputusan tersebut di Mahkamah Sesyen 2, di Kompleks Jalan Duta Kuala Lumpur.
Lima mahasiswa berkenaan - Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani,Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli dari Universiti Malaya - dituduh melakukan jenayah dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani - yang bakal dilalui isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor - dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu kira-kira jam 4 pagi.

Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Semua itu, gara-gara mahasiswa berkenaan dikaitkan dengan contengan perkataan- perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Rozana dalam penghakimannya pagi ini berkata dalam pertuduhan seksyen 436 pihak pendakwaraya gagal membuktikan elemen-elemen penting dalam pertuduhan bahawa semua tertuduh telah melakukan khianat dan mempunyai niat bersama.

Katanya lagi, tiada keterangan bagi mengenal pasti bahan api serta kesan kerosakan daripada bahan api berkenaan.

Manakala bagi seksyen 447 pula, pendakwaraya gagal membuktikan niat bersama tertuduh untuk melakukan kesalahan tersebut.

Sementara bagi seksyen 427 pula, Rozana berkata pihak pendakwaraya turut gagal membuktikan bahan api yang digunakan ke atas permaidani merah berkenaan adalah bahan petrol.

"Setelah meneliti dan menimbang semua keterangan daripada saksi pendakwaraya, exibit dan hujah, mahkamah mendapati, di atas penilaian mahkamah, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

"Dengan ini melepaskan tertuduh dan membebaskan terhadap tiga pertuduhan itu tanpa memanggil untuk pembelaan," kata Rozana.

Sumber: Malaysiakini

Thursday, September 9, 2010

Raikan Aidilfitri Dengan Kegembiraan

Masyarakat melayu kita sering mengaitkan hariraya dengan hari kesedihan. Perkara ini diransang tambah oleh media kita. Apabila tiba hariraya, takbir raya ala melayu berirama sedih, alunan melodinya mendayu dan mengundang airmata, drama dan cerita dalam media akan dikaitkan dengan kisah-kisah sedih dan pilu, puisi dan lagu juga begitu. Apakah hariraya dalam Islam hari sedih, atau hari kemenangan dan kegembiraan?

Terlebih dahulu kita hendaklah tahu bahawa hari raya dalam Islam bukan sekadar tradisi atau cetusan idea mana-mana pihak, ia adalah syariat yang diturunkan oleh Allah dan ada hukum-hakamnya yang tersendiri. Di samping ia adalah hari yang Allah peruntukkan untuk kaum muslimin membesarkan Allah, kemenangan dan kegembiraan.

Firman Allah (maksudnya):

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (maka diganti) pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”.(Surah al-Baqarah: 185).

Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan Hari Raya adalah tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada Hari Raya. Ini semua tanda kejayaan dan kegembiraan.

Apatah lagi hadis-hadis Nabi s.a.w menunjukkan penghayatan hari raya pada zaman baginda penuh dengan kegembiraan dan ceria. Kata Ummu Atiyyah r.aha:

“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).

Maka Nabi s.a.w dalam sunnahnya, menunaikan solat hari raya di tanah lapang, sehingga memungkin setiap individu menyertai kemenangan dan kegembiraan pada hari tersebut, juga lebih penting untuk memperlihatkan kekuatan, perpaduan, kejayaan dan kebahagiaan hidup kaum muslimin.

Takbir hari raya adalah takbir yang bersemangat, bukan berirama sedih seperti takbir kita. Cubalah dengar takbir hari raya di dunia Arab, lain iramanya.


Hiburan

Di sudut hiburan pula, ruang yang luas Islam berikan untuk insan muslim bergembira, syaratnya jangan menyanggahi syariat. Islam agama yang luhur lagi memahami jiwa insan yang berbagai. Hiburan bukan satu kewajipan, tetapi satu ruang atau sudut yang kadang-kala diperlukan oleh insan dalam keadaan tertentu, atau membantu seseorang menikmati kehidupan dunia ini. Sesiapa yang tidak mahu, tidak mengapa tetapi jangan dihalang orang menikmatinya.

Hari raya adalah hari gembira. Hiburan dengan disiplin dan adab yang baik merangsang kegembiraan itu, maka bertambah meriah hari raya yang diperuntukkan agama untuk kita. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:

“bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka.

Amat menarik sikap lunak yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Bayangkan bagaimana dua gadis ini boleh menyanyi dalam rumah Rasulullah s.a.w? Jikalah tabiat Rasulullah itu keras dan garang, tentulah dari awal mereka tidak berani menyanyi dan bergendang dalam rumah Nabi s.a.w.

Lihat pula reaksi baginda apabila Abu Bakr memarahi mereka, baginda tidak berdiam diri sebaliknya menyatakan pendirian nabawi bahawa itu semua diizinkan.

Ada sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w tidak menafikan bahawa nyanyian adalah suara syaitan seperti yang disebut oleh Abu Bakr, cuma membiarkan khusus untuk hari tersebut kerana ia hari raya. Pendapat ini agak ganjil. Apakah jika hari raya maka suara syaitan dibenarkan? Atau apakah hari raya nyanyian tidak menjadi suara syaitan, tetapi apabila tamat hari raya ia kembali menjadi suara syaitan kembali? Cukuplah dengan teguran Nabi s.a.w itu sebagai satu bantahan umum atas kenyataan Abu Bakr.

Bahkan hadis ini diriwayatkan al-Bukhari bersama riwayat berikut untuk menunjukkan keluasan Islam; kata ‘Aishah juga:

“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).

Pertunjukan yang disebut dalam hadis ini sebenarnya berlangsung dalam masjid Nabi s.a.w seperti mana yang disebut oleh hadis lain yang juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Maka pandangan yang agak ketat dan ‘tidak luas’ yang menghadkan menikmati hiburan seperti yang disebut dalam hadis-hadis di atas untuk hari raya sahaja sebenarnya telah menyempitkan urusan muamalat dan kehidupan yang diluaskan oleh Islam.

Soal hiburan bukan seperti ibadah khusus yang memang tidak boleh ditokoh tambah. Hiburan adalah sesuatu yang bermula dari titik tolak ‘harus’ atau keizinan umum syarak yang tidak boleh diharamkan melainkan dengan dalil yang jelas. Hiburan bukan seperti ibadah yang tidak boleh direka tambah.

Hiburan adalah hak inovasi dan kreativiti insan yang diizinkan secara luas selagi tidak menyanggahi prinsip dan hukum yang Islam tetapkan.

Apatah lagi baginda Nabi s.a.w apabila mengizinkan hal-hal ini semua menyebut pada hari berkenaan:

“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah”(Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Pada hari ini ramai yang rasa Islam itu sempit dan menyongkong. Demikian Barat dan Yahudi menuduh Islam hal yang sama. Nabi s.a.w membuka ruang kegembiraan dan hiburan, agar Islam tidak difitnah dan dituduh demikian rupa.

Apa yang hendak disampaikan adalah hari raya dalam Islam adalah hari gembira, bukan hari sedih dan duka seperti yang selalu ditonjolkan oleh drama dan lagu melayu menjelang hari raya. Apa sahaja aktiviti yang merangsang suasana gembiara dan tidak menyanggahi syarak, adalah digalakkan pada hari raya. Ini termasuklah kuih-muih, ziarah-menziarahi, duit dan hadiah raya, juga nyanyian dan hiburan. Islam adalah agama lurus tapi mudah dan praktikal untuk kehidupan insan.


Malang masyarakat kita, jika di sebahagian tempat, hari sedih seperti hari kematian dijadikan hari kegembiraan dengan dibuat ‘kenduri atau jamuan kematian’, ‘wang angpau untuk sembahyang jenazah’ dan berbagai perkara lain bagaikan berpesta dengan kematian. Itu semua bukan ajaran Islam.

Namun apabila tiba saat yang disuruh gembira iaitu hari raya, didendangkan irama dan drama sedih, menangis di kubur dan berbagai lagi. Kita terbalikkan suasana. Hari raya hari gembira bukan hari sedih. Bak kata sabda Nabi s.a.w:

“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah”


oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin



Tuesday, September 7, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1431H......

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera....

Di kesempatan yang ada ni,nak susun sepuluh jari memohon maaf atas kesalahan, kekhilafan diri samada sedar ataupun tidak..samada sengaja ataupun disengajakan... baik tutur bicara mahupun tingkah laku perbuatan..

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri buat semua muslimin dan muslimat amnya..kepada sanak saudara jauh dan dekat, para guru dan pensyarah SKAAT, SMSSMJ, KMP, UTM dan dimana saja, rakan taulan juga dari SKAAT, SMSSMJ, KMP, PALAPES, Majlis Perwakilan Mahasiswa, UTM dan sesiapa saja yang mengenali diri ini...

Semoga AIdilfitri kali ini memberi seribu erti kepada kita semua atas kejayaan kita mengharungi tarbiyah dari Allah sepangjang bulan Ramadhan ini..


juga SELAMAT HARI RAYA kepada semua ahli Pro-Mahasiswa samada di UTM amhupun di kampus lain...turut tak dilupakan warga kampus sekalian..

WASSALAM~~