Assalamualaikum wbt..
Bismillahirrahmanirrahim.... Segala mutiara puji-pujian dipanjatkan kepada Allah Taala atas segala kurniaan nikmat-Nya kepada kita semua. Selawat dan salam buat junjungan Rasulullah saw serta ahli keluarga baginda dan para sahabat juga buat semua penerus risalah perjuangan baginda.
Setelah beberapa bulan blog ni penuh bersawang, Alhamdulillah dapat kembali kekuatan untuk sambung menulis dan buang sawang-sawang yang dah lama bersarang kat sini. InsyaAllah moga sama-sama istiqamah dalam menyampaikan risalah dakwah dan kesedaran. Kali ni nak bawakan petikan Khutbah Saidina Abu Bakar berkaitan pemimpin dan kepimpinan. Moga kita sama-sama dapat manfaat.
Bahagialah rakyat jika memiliki pemimpin yang soleh, takutkan
Allah dan tahu kewajipan terhadap rakyat. Namun jika sebaliknya yang mereka
perolehi, sengsaralah hidup mereka. Islam adalah agama politik dan
pemerintahan, sebagaimana ia juga agama aqidah, ibadah dan kekeluargaan. Islam
tidak hanya ingin melahirkan ahli ibadah (‘abid) dan ahli ilmu (‘alim atau
ulama’), tetapi juga ingin melahirkan ahli politik dan pemerintah mengikut
acuan wahyu dan hidayah Allah. Nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi lambang
kesempurnaan agama Islam, kecemerlangan sakhsiah baginda bukan pada ibadah dan
akhlaknya sahaja, tetapi juga pada keadilan dan kebijaksanaannya dalam politik
dan pemerintahan.
Islam ingin melahirkan pemimpin yang bukan sekadar berjiwa
rakyat tetapi lebih dari itu ia mampu membimbing rakyatnya. Ia mengetahui
dengan baik landasan mana yang harus dikutinya selama ia memerintah rakyatnya.
Dalam setiap keputusannya, dipastikan untuk kemaslahatan rakyat, bukan diri
sendiri. Ia menyedari di bawahnya adalah rakyatnya dan di atasnya adalah
Tuhannya yang sentiasa memerhati dan menghisab segala tindak-tanduk serta
perlakuannya. Pemimpin yang memiliki ciri dan akhlak sebegini bukan hanya menjadi
suatu idea di dalam Islam, malah Islam telah melahirkannya ke alam realiti.
Contoh terunggul ialah Nabi Muhammad s.a.w.. Selain baginda ialah Saidina Abu
Bakar r.a., khalifah pertama di dalam Islam. Keperibadian Abu Bakar sebagai
pemimpin Islam sejati dapat dilihat dari awal lagi dalam pidato sulungnya
sebaik diangkat menjadi Khalifah.
Ibnu Sa’ad meriwayatkan dalam Tabaqatnya; “Semasa Abu Bakar
diangkat menjadi Khalifah, beliau berpidato di hadapan rakyatnya. Setelah
bertahmid kepada Allah dan memuji kebesaranNya, beliau berkata; “Wahai sekelian
manusia! Aku telah diangkat untuk menguruskan urusan kamu sedangkan aku
bukanlah yang terbaik di kalangan kamu. Namun al-Quran telah turun kepada kita
dan Nabi Muhammad s.a.w. telah meninggalkan sunnahnya untuk kita di mana dia
telah mengajarnya kepada kita sehingga kita mengetahuinya. Sedarilah bahawa
sebaik-baik kebijaksanaan ialah takwa dan sebodoh-bodoh kebodohan ialah fujur
(dosa dan maksiat). Sesungguhnya bagiku orang yang lemah adalah paling kuat di
kalangan kamu kerana aku akan membantunya untuk mengembalikan haknya (yang
dirampas oleh orang lain). Sementara yang kuat pula bagiku adalah paling lemah
kerana aku akan mengambil darinya hak (orang lain yang dirampasnya). Wahai
sekelian manusia! Aku adalah pengikut (ajaran Nabi s.a.w.), bukan pembid’ah
(yakni yang mereka-reka ajaran baru). Maka jika aku berbuat baik, bantulah aku
dan jika aku tersesat, betulkanlah aku”. (Thabaqat Ibnu Sa’ad, bab Zikr Bai’ati
Abi Bakr)
Perhatikan bagaimana Abu Bakar telah menggariskan dasar-dasar
bagi pemerintahannya dalam ungkapan yang begitu ringkas. Tidak banyak perkataan
yang digunakan, namun pengertiannya amat luas dan mendalam. Abu Bakar memulakan
pidatonya dengan merendah diri kepada rakyatnya. Walaupun berada di jawatan tertinggi
dalam Negara, ia merasakan dirinya bukanlah yang terbaik. Begitulah seharusnya
seorang pemimpin. Perlu ada perasaan rendah diri kerana dengan perasaan itulah
Allah akan membantunya dan ia akan disayangi rakyat. Nabi s.a.w. bersabda;
“Sesiapa merendah diri kerana Allah, Allah akan mengangkatnya”.[1] Diriwayatkan
juga dari baginda; “Rendah dirilah kepada manusia, duduklah bersama orang-orang
miskin, nescaya kamu akan menjadi orang-orang besar di sisi Allah dan kamu akan
keluar dari perasaan takbur”.[2]
Perasaan rendah diri bukan bertujuan menzahirkan kelemahan
diri di hadapan rakyat. Akan tetapi untuk meraih simpati rakyat agar dapat
bersama mencari kekuatan untuk membina Negara. Kerana itu, Abu Bakar
menegaskan; “Aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu, namun al-Quran telah
turun kepada kita dan Nabi Muhammad s.a.w. telah meninggalkan sunnahnya untuk
kita di mana dia telah mengajarnya kepada kita sehingga kita mengetahuinya”.
Bagi Saidina Abu Bakar, al-Quran dan as-Sunnah adalah sumber kekuatan bagi
beliau untuk memimpin rakyatnya. Kerana itu, walaupun berasa diri lemah tetapi
beliau yakin dengan kekuatan wahyu al-Quran dan ilmu as-Sunnah yang diwarisi
dari Nabi Muhammad s.a.w.. Wahyu al-Quran dan ilmu as-Sunnah inilah yang
menjadi titik kesatuan antara beliau dan rakyatnya dan dari titik kesatuan
itulah beliau yakin akan mendapat dokongan penuh dari rakyatnya untuk menerajui
Negara.
Seterusnya Abu Bakar menjelaskan dasar-dasar kepimpinannya
kepada rakyatnya;
Pertama; Dasar yang
digunakan dalam menilai rakyat. Abu Bakar menegaskan kepada sekelian rakyatnya
bahawa beliau menilai mereka berdasarkan ketaatan kepada Allah, bukan pangkat,
keturunan, harta dan sebagainya. Baginya, rakyat terbaik ialah yang paling
tinggi takwanya. Jelas sekali beliau menghayati prinsip al-Quran yang
menegaskan; “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang
paling tinggi taqwanya di antara kamu” (Surah al-Hujurat, ayat 13). Berdasarkan
prinsip ini, para ulamak menegaskan; “Sebarang jawatan dalam kerajaan Islam
sama ada berkaitan dengan kehakiman, kementerian, pentadbiran atau sebagainya
tidak harus diserahkan kepada mana-mana orang melainkan yang memenuhi
syarat-syarat berikut:[3]
1. Mempunyai keimanan dan ketakwaan.
2. Mempunyai kelayakan ilmu berkaitan jawatan yang hendak
diisi.
3. Ia tidak melobi untuk mendapatkannya kerana Nabi s.a.w.
bersabda;
“Sesungguhnya kami demi Allah tidak akan menyerahkan kerja ini kepada seseorang yang memintanya atau bercita-cita ke atasnya”.[4]
“Sesungguhnya kami demi Allah tidak akan menyerahkan kerja ini kepada seseorang yang memintanya atau bercita-cita ke atasnya”.[4]
Kedua; Dasar keadilan
dan kesaksamaan untuk rakyat. Saidina Abu Bakar meletakkan satu prinsip yang
tegas berhubung keadilan dan kesaksamaan di antara rakyatnya. Beliau
seolah-olah memberi amaran; jangan ada sesiapa pun di kalangan rakyatnya yang
cuba menindas orang lain kerana beliau pasti akan menggunakan kuasanya –sebagai
pemimpin- untuk membela orang tertindas itu. Dirinya diletakkan sebagai
pengimbang antara rakyatnya yang kaya dan yang miskin, antara yang menindas dan
yang ditindas. Rakyat yang dizalimi akan dibela sehingga ia menjadi kuat di
tengah masyarakat dengan pengaruh khalifah. Sementara yang menzalimi pula akan
dikekang dan diancam sehingga pengaruhnya menjadi lemah kerana ditenggelamkan
oleh kuasa khalifah.
Ketiga; Dasar pemimpin
berperlembagaan, yang tertakluk dengan undang-undang Syarak. Di dalam ucapannya
tadi, Saidina Abu menegaskan; “Aku adalah pengikut (ajaran Nabi s.a.w.), bukan
pembid’ah (yakni yang mereka-reka ajaran baru)”. Saidina Abu Bakar ingin
memberitahu rakyatnya bahawa; walaupun berada di kedudukan paling atas dalam
Negara, beliau tetap terikat dengan undang-undang Syari’at yang ditinggalkan
Nabi Muhammad s.a.w.. Sebagai pemimpin Islam, beliau menyedari bahawa
tanggungjawab beliau ialah meneruskan kesinambungan politik Islam yang
dipelopori oleh Nabi Muhammad s.a.w., bukan membawa ajaran politik baru yang
berlawanan dengan sunnah baginda. Kerana itu, beliau meminta rakyatnya agar
mengawasinya. Beliau berpesan kepada mereka; “Jika aku berbuat baik, bantulah
aku dan jika aku tersesat, betulkanlah aku”.
Kepada pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini, kita nasihatkan;
jadikanlah pidato Saidina Abu Bakar di atas sebagai panduan dalam pemerintahan.
Jika kamu berlaku adil, kamu akan disanjung dan dikasihi oleh rakyat
sebagaimana Rasulullah s.a.w., Abu Bakar, Umar dan pemimpin-pemimpin soleh yang
lain. Namun jika kamu zalim dan menyeleweng, kamu akan menjadi seperti Fir’aun,
Namrud dan sebagainya yang dicela dan dicaci rakyat.
Coretan asal oleh an-nasihah
No comments:
Post a Comment