Thursday, July 14, 2011

Bukan Islam (Kafir) Dipilih Sebagai Pemandu / Penunjuk Jalan


"Talhah bin Abdullah bin 'Auf berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; Saya telah menyaksikan berlakunya suatu kerjasama dalam bentuk permuafakatan di kediaman Abdullah bin Jad'aan. Permuafakatan tersebut itu baik bagiku dan ia lebih bernilai daripada harta benda dunia. Sekiranya saya diminta berbuat demikian dalam era Islam ini, pasti saya menyetujuinya." (Hadis Riwayat Ibnu Ishak)

Dalam sejarah Hijratul Rasul s.a.w., baginda telah meminta pertolongan atau bantuan dari seorang yang tidak Islam yang bernama Abdullah bin Uraiqit, sebagai pemandu dan penunjuk jalan kepadanya.


Mengapa Rasulullah s.a.w. memilih orang kafir untuk membantu? Apakah tidak ada orang Islam atau malaikat atau wahyu yang memandunya?


Walaupun semua itu boleh, tetapi peristiwa ini mengandungi mesej yang amat jelas, iaitu dibolehkan bekerjasama, terutamanya jika keperluan itu jelas wujud. Maka hal kerjasama seperti itu dibolehkan.


Setiba di Madinah, Rasulullah s.a.w. menyedari, malah diperintah Allah SWT untuk mengadakan permuafakatan dengan yang bukan Islam dari golongan kuffar Madinah, sehingga termeterai suatu perjanjian (piagam) yang dikenali sebagai Saheefah Madinah yang terkenal sehingga ke hari ini.


Saheefah tersebut, diperuntukkan jelas antara lainnya, orang Yahudi menanggung perbelanjaan hidup sendiri, demikian juga orang-orang Islam. Di antara mereka terdapat tanggungjawab untuk saling bantu membantu menghadapi musuh bersama.


Mereka hendaklah saling nasihat menasihati dalam berbuat baik terhadap satu sama lain, tanpa melakukan kesalahan.


Disebutkan dalam Saheefah bahawa; "Tidak salah mana-mana orang yang tertakluk dalam piagam ini, bahawa mereka wajib tolong menolong, bantu membantu, khususnya bagi orang-orang yang teraniaya."


Selain itu Rasulullah s.a.w. pernah membuat perjanjian tolong menolong dengan Bani Khuza'ah dan lain-lain.


Dengan alasan-alasan yang dipaparkan ini, sama ada dari al-Quran dan as-Sunnah, jelas menunjukkan keharusan bermuafakat dengan orang-orang yang bukan Islam.


Namun demikian, ia bukan merupakan keharusan total atau dibolehkan secara mutlak. Keharusan ini, mestilah diikat dengan beberapa syarat, sesuai dengan situasi muafakat tersebut.


Apa yang penting, ia mestilah memastikan Islam berada dalam keadaan selamat, selesa dan terus berada dalam keadaan yang sejajar dengan ruh firman Allah dalam al-Quran (mafhumnya): "Kamu adalah umat yang terbaik, dilahirkan bagi manusia, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah perkara yang mungkar dan beriman kepada Allah..." (Surah ali-Imran ayat 110).


No comments:

Post a Comment