Tuesday, May 4, 2010

UTM sedia basikal percuma

JOHOR BAHRU 27 April - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menyediakan basikal percuma di kawasan kampus untuk kegunaan orang ramai serta kakitangannya sebagai usaha mewujudkan kampus bebas kesesakan.


Naib Canselor UTM, Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, ia dilihat sebagai satu langkah proaktif yang mampu mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan kampus akibat pertambahan bilangan kenderaan.


Beliau berkata, pertambahan jumlah kenderaan turut menyukarkan kakitangan serta mahasiswa UTM untuk mendapatkan tempat letak kereta apabila mereka bergerak dari satu bangunan ke bangunan lain.

"Pada masa ini kita mempunyai 40 basikal untuk digunakan semua pihak sekiranya ingin bergerak dari satu bangunan ke satu bangunan berhampiran.


"Melalui kaedah ini kita dapat mewujudkan suasana bebas kesesakan dan pada masa yang sama dapat menjadikan UTM sebagai kampus yang lebih bersih," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.


Zaini berkata, idea berkenaan berasal dari Copenhagen, Denmark dan dibawa ke sini kerana ia merupakan langkah paling efisien untuk membantu mengurangkan kesesakan.


Beliau berkata, selain mengurangkan kesesakan, ia juga sebagai usaha menggalakkan kakitangan serta penuntut UTM menjalani gaya hidup lebih sihat dalam suasana yang lebih kondusif.


"Selain basikal, kita juga menggalakkan para mahasiswa serta kakitangan berjalan kaki sekiranya ingin bergerak ke kawasan berdekatan bagi membantu menjayakan program berkenaan," katanya.


Zaini berkata, UTM juga merancang menambah bilangan basikal kepada 300 unit pada masa akan datang untuk memastikan rancangan mewujudkan kampus bebas kesesakan itu berjaya.


dipetik daripada ARKIB UTUSAN MALAYSIA 28 APRIL 2010

1 comment:

  1. Saya menyokong penuh idea bijak Dato' VC & juga diharap saman tidak dikeluarkn kepada pengguna yang berbasikal.

    ReplyDelete