Assalamualaikum....sekadar siaran ulangan..
Bukan sebab tak da idea, tapi peringatan ni berulang kali pun tak salah..yang penting apa yang kita nak sampaikan tu...
Esok merupakan hari ke 10 dalam Bulan Muharram atau lebih lebih dikenali dengan 'HARI ASYURA'. Menurut tradisi masyarakat Islam,Nabi Muhammad s.a.w melakukan puasa Asyura sejak di Makkah lagi memandangkan puasa Asyura merupakan amalan biasa masyarakat tempatan. Apabila baginda berhijrah ke Madinah, baginda turut mendapati yang kaum Yahudi turut berpuasa pada hari Asyura (atau bagi mereka adalah Yom Kippur yang juga pada hari kesepuluh). Ketika itu, baginda mengesahkan dan mensyariatkan puasa sehingga ia menjadi satu kewajiban kerana baginda merasakan masyarakat Islam lebih dekat dengan Nabi Musa. Maka sabda Nabi s.a.w, Kamu lebih berhak terhadap Musa daripada mereka maka berpuasalah. [Hadis riwayat Imam al-Bukhari.]
Ibn Hajar al-asqalani, dalam pernyataannya terhadap Sahih Bukhari mengatakan yang syariat puasa telah dijadikan kepada bulan Ramadhan setahun kemudian. Kini, masyarakat Islam melakukan puasa pada 10 Muharram sebagai amalan sunat dan bukan kewajiban.
Dalam Islam, disunnatkan berpuasa pada hari ini seperti mana yang dinyatakan dalam sebuah riwayat Bukhari dan Muslim -
[Daripada Aisyah: "Sesiapa ingin berpuasa (sunat 10 Muharram) maka bolehlah dia berpuasa. Dan sesiapa yang tak ingin berpuasa maka boleh dia tinggalkan".]
Malah dalam sebuah hadith RIWAYAT MUSLIM Nabi berpuasa pada 10 Muharram kerana pada hari tersebut diselamatkan Nabi Musa a.s daripada lemas dan juga daripada buruan Firaun.
Terdapat banyak fadhilat dan kelebihan yang telah diberikan oleh Allah pada Hari Asyura dan sebagai seorang muslim kita amat digesa dalam mencari dan memanfaatkan fadhilat-fadhilat yang telah diberikan sempena Hari Asyura ini.
Baginda bersabda: "Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya". Riwayat Muslim.
Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda : " Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) maka Allah S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah S.W.T akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Aasyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka."
Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W : " Ya Rasulullah S.A.W, adakah Allah telah melebihkan hari Asyura daripada hari-hari lain?".
Maka berkata Rasulullah S.A.W : " Ya, memang benar, Allah Taala menjadikan langit dan bumipada hari Asyura, menjadikan laut pada hari Asyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura,menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Asyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Aasyura, dan Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Aasyura,Allah S.W.T menenggelamkan Fir'aun pada hari Aasyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub a.s pada hari Aasyura, Allah S.W.T menerima taubat Nabi Adam pada hari Aasyura,Allah S.W.T mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Aasyura, Allah S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Aasyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Asyura !".
Dapat kita ringkaskan dan simpulkan bahawa terdapat amalan-amalan sunat yang dinyatakan berdasarkan hadis-hadis di atas antara yang boleh diamalkan ialah:
1. Melapangkan masa / belanja anak dan isteri
2. Memuliakan fakir miskin
3. Menahan marah
4. Menunjukkan jalan yang lurus/membetuli orang sesat/orang yang salah(terpesong aqidah(tauhid) dan akhlaknya)
5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim(menghormati dan memuliakan mereka)
6. Bersedekah
7. Memelihara kehormatan diri
8. Mandi Sunat dengan lafaz niatnya: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
9. Bercelak
10. Membaca Qulhuwallah(Surah al-Ikhlas) hingga akhir seribu kali
11. Menjamu orang berbuka puasa
12. Puasa Sunat Asyura dengan niatnya dibaca Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala
Oleh kerana orang Yahudi juga berpuasa pada 10 Muharram maka disunatkan umat Islam berpuasa sejak 9 Muharram lagi bagi membezakan dengan puasa orang Yahudi. Hadith ini dikhabarkan oleh Ibnu Abbas dalam sebuah hadith riwayat Muslim dan Abu Daud.
Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berselisihlah dengan orang Yahudi di dalamnya, dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya.
[Hadis riwayat Imam Ahmad.]
Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyyah: Susunan (kelebihan) puasanya ada tiga, yang paling sempurna ialah puasa (dimulakan) sehari sebelumnya dan sehari selepasnya, berikutnya (boleh juga) puasa pada hari kesembilan (Tasu’a) dan kesepuluh (Asyura), terdapat banyak hadis dalam perkara ini, berikutnya pula (boleh juga) puasa pada 10 Muharam sahaja.
Bagi mereka yang berkesempatan dan berkemampuan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu Hari Tasu’a (9 Muharram) maka bolehlah berpuasa pada hari berikutnya iaitu pada 11 Muharram sekadar nak membezakan antara amalan orang Yahudi dan ibadat orang Islam.
Antara peristiwa-peristiwa besar yang menjadi sejarah di sebalik Hari Asyura ini ialah:
1) Hari pertama Allah menciptakan alam, menurunkan rahmat dan hujan
2) Allah menjadikan 'Arasy dan Luh Mahfuz.
3) Allah menjadikan Malaikat Jibril.
4) Nabi Adam a.s. dicipta.
5) Diampunkan dosa Nabi Adam a.s. setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah.
6) Nabi Idris a.s. diangkat darjatnya oleh Allah dan Malaikat Izrail membawanya ke langit.
7) Diselamatkan Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya dari banjir besar selama enam bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan.
8) Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di kawasan pedalaman dan terselamat dari buruan Raja Namrud.
9) Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan Allah dari api Raja Namrud.
10) Nabi Yusuf a.s. dibebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama tujuh tahun.
11) Nabi Yaakub a.s. telah sembuh buta matanya ketika kepulangan anaknya Yusuf di hari tersebut.
12) Nabi Ayub a.s. disembuhkan dari penyakitnya.
13) Nabi Musa a.s. telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah.
14) Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s..
15) Nabi Yunus a.s. selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
16) Kesalahan Nabi Daud a.s. diampuni Allah.
17) Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
18) Nabi Isa a.s. diangkat ke syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib baginda.
19) Saidina Hussein ibni Ali telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di Karbala oleh tentera khalifah Bani Umaiyah iaitu Khalifah Yazid.
Rasulullah s.a.w. tidak pernah memerintahkan amalan ibadah lain untuk dikhususkan sempena hari Asyura melainkan ibadah berpuasa sebegini sahaja.
Oleh itu sebaik-baiknya kita berusaha untuk mengamalkan sunah Nabi s.a.w. Semoga kita semua memperoleh manfaat daripada sedikit ilmu untuk diamalkan ini.
Wallahu’alam...
No comments:
Post a Comment