Thursday, December 16, 2010

SEHARI BERSAMA MAXIS BHD - 16 Disember 2010

JITRA, 16 Disember 2010 – Maxis Bhd dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah, dan Pejabat Pelajaran Daerah Kubang Pasu telah menganjurkan program “Sehari Bersama Maxis”. Program sehari ini telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan Padang Pekan bertujuan untuk memberikan sumbangan berupa perkakas kelengkapan sekolah dan pakaian sekolah kepada pelajar-pelajar mangsa mangsa banjir di seluruh daerah Kubang Pasu. Program ini turut dihadiri oleh YB Dato’ Haji Mohamed Taulan bin Mat Rasul, Pengerusi Agama, Pelajaran dan Koperasi Negeri Kedah selaku wakil Kerajaan Negeri Kedah juga beberapa lagi pegawai daripada Pejabat Daerah dan Pejabat Pelajaran Daerah Kubang Pasu.

Program penyampaian bantuan ini dimulakan dengan ucapan daripada Mr Jeff Chong, Timbalan Pengurus Maxis selaku wakil kepada Mr Jean-Pasval van Overbeke, Ketua Pengarah Pengurusan Maxis Bhd. Ucapan beliau yang sangat bersahaja dan penuh gurau senda sangat disenangi oleh para tetamu yang hadir. Beliau juga menegaskan bahawa pihak Maxis sentiasa perihatin terhadap pelajaran dan atas dasar itulah mereka turut terlibat dalam memberikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir tempoh hari.

Turut menyampaikan ucapan ialah YB Dato’ Mohamed Taulan selaku wakil kerajaan negeri Kedah, antara isi kandungan ucapannya ialah Kerajaan Negeri Kedah sangat mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan daripada pihak luar untuk disalurkan kepada rakyat Kedah yang memerlukan kerana menjadi kewajipan kita semua untuk turut bantu membantu dalam membela nasib saudara mara kita. Turut dimaklumkan bahawa Kerajaan Kedah telah menyalurkan bantuan kepada masyarakat di daerah Pendang pada minggu lalu diikuti beberapa tempat di Langkawi.


Penyampaian bantuan ini telah disampaikan kepada wakil Majlis Ketua Kampung (MKK) setiap kawasan yang terlibat untuk menyerahkan sumbangan kepada mereka yang berkenaan di bawah jagaan dan pantauannya. Sumbangan ini juga turut diberikan kepada semua pelajar Sek. Keb. Padang Pekan memandangkan hamper keseluruhan mereka terlibat dalam bencana banjir tempoh hari.



Bercakap dalam sidang media selepas selesai majlis penyerahan sumbangan itu, Mr Jean Pasval menyatakan bahawa sumbangan pada hari ini merupakan sumbangan terbesar yang diberikan kepada mangsa banjir kerana menelan belanja hampir RM300 000 yang telah melibatkan lebih kurang 13 000 orang penerima bantuan. Katanya lagi Maxis sentiasa komited dalam memberikan bantuan kepada masyarakat. Kenduri jamuan makan tengahari untuk 2000 orang juga turut diadakan pada hari ini. Kenduri ini juga merupakan sumbangan pihak tertentu kepada masyarakat setempat.

Sekalung ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada pihak Maxis atas sumbangan yang diberikan dan juga semua pihak yang terlibat dalam menguruskan dan menjayakan majlis sumbangan ini termasuk En. Mohd Dzohir bin Hamid, wakil PIBG, Tn Hj Ahmad bin Osman, Guru Besar Sek. Keb. Padang Pekan dan semua guru dan AJK PIBG yang terlibat. – Ku Muhyi




No comments:

Post a Comment