5hb Feb 2011(Sabtu)-Berhubung dengan isu larangan bas ekspres berhenti di hentian Sri Putri, semua bas ekspres dari semua destinasi mesti berhenti di Terminal Bas Larkin dan semua penumpang mesti turun di terminal yang tercatat dalam tiket yang dibeli. Justeru semua mahasiswa terpaksa turun di Terminal Bas Larkin dan perlu mengambil perkhidmatan bas atau teksi sendiri untuk pulang ke UTM. Memandangkan situasi ini banyak menimbulkan masalah kepada mahasiswa daripada beberapa aspek termasuklah keselamatan mahasiswa yang pulang pada waktu malam terutamanya siswi, kadar tambang teksi yang tinggi dari Larkin ke UTM dan mencecah dua kali ganda pada waktu malam dan juga beberapa aspek lain yang telah diambil kira, maka JKPK MPMUTM telah mengambil inisiatif untuk menyediakan perkhidmatan bas dari Larkin ke UTM.
JKPK pada awalnya mendapat maklumat berkaitan isu ini melalui beberapa orang pemandu bas ekspress dan pemandu teksi di sekitar Skudai ini walaubagaimanapun kita juga terus berhubung dengan pihak JPJ dan SPAD (dulunya dikenali LPKP) bagi mendapatkan kepastian tentang isu ini. Pada peringkat awalnya, jawapan yang diterima daripada pihak JPJ ialah mereka hanya bertanggungjawab dalam menguatkuasakan peraturan yang ditetapkan oleh SPAD. Berkaitan isu ini, tiada arahan untuk menutup operasi di Kaunter Bas Ekspress di Sri Putri, Skudai tetapi pihak JPJ menguatkuasakan semula peraturan sedia ada iaitu "semua Bas Ekspress tidak dibenarkan untuk mengambil atau/dan menurunkan penumpang di tepi jalan atau bukan pada tempat yang dinyatakan dalam tiket." ini bermakna semua penumpang mesti turun di Terminal Bas Ekspress Larkin. Namun, masih terdapat lagi bas ekspress yang tetap berhenti dan menurunkan penumpang di Sri Putri, bergantung kepada budi bicara pemandu bas tersebut.
JKPK MPMUTM telah mengambil inisiatif menyediakan kemudahan bas UTM bagi mengambil mahasiswa yang turun di Larkin untuk pulang ke UTM. Memandangkan pihak kita lambat menerima makluman berkaitan isu ini, hanya sebuah bas sahaja dapat disediakan memandangkan kebanyakan pemandu bas UTM bertugas di luar. Sepanjang dua hari di sana, empat trip disediakan untuk satu hari bermula pada jam 8.00am, 2.30pm, 8.00pm dan trip terakhir pada jam 11.00pm. Berdasarkan keseluruhan trip yang disediakan, kira-kira 100 orang mahasiswa UTM yang menggunakan perkhidmatan yang disediakan.
Walaubagaimanapun, masih terdapat banyak kelemahan di pihak JKPK dalam menyediakan perkhidmatan ini memandangkan pihak kita mengambil keputusan 'last minute' untuk menyediakan bas dari larkin ke UTM. Antara kelemahan yang dikenalpasti ialah maklumat tidak sampai kepada mahasiswa walaupun hebahan dan dilakukan melalui SMS, Facebook tapi masih tidak menyeluruh. Kedudukan bas UTM yang agak terkebelakang juga menyebabkan mahasiswa UTM tidak nampak bas yang disediakan. MPM juga kekurangan tenaga kerja memandangkan kebanyakan MPM juga turut pulang ke kampung pada masa cuti berkenaan. Namun, kita akan ambil langkah-langkah penambahbaikan selepas ini supaya kelemahan dan kekurangan seumpama ini dapat diatasi.
Berkaitan isu di Sri Putri, pihak MPM UTM masih belum menerima jawapan jelas samada daripada pihak JPJ mahupun pihak SPAD dan kita masih lagi meneruskan usaha bagi mendapatkan jawapan berkaitan isu ini. Cuma apa yang dimaklumkan ialah kaunter tiket akan kekal beroperasi dan tidak akan ditutup, hanya bas sahaja yang tidak dibenarkan untuk berhenti di sana. Persoalannya, keadaan seumpama ini akan memberi kesan jangka masa panjang yang membawa kepada penutupan kaunter juga memandangkan bas tidak boleh berhenti di sana.
Beberapa aspek menjadi sandaran kuat mengapa operasi di Sri Putri mesti diteruskan atau sekiranya sememangnya akan ditutup, maka mesti digantikan dengan terminal bas alternatif yang dekat dengan kampus.
1) Kedudukan Sri Putri yang sangat berhampiran dengan kampus UTM memudahkan mahasiswa untuk pulang dan beli tiket.
2) Keselamatan mahasiswa terutamanya mahasiswi sekiranya terpaksa ke Larkin yang jauhnya lebih daripada 20km dari UTM terutamanya pada waktu malam.
3) Harga tambang teksi yang mahal memandangkan Larkin jauh dari UTM dan tambangnya akan berganda pada waktu malam. Hal ini akan membebankan mahasiswa terutamanya pada hujung semester.
4) Sekiranya kaunter tiket ditutup, mahasiswa terpaksa berulang alik untuk ke Larkin membeli tiket.
Berdasarkan faktor-faktor ini, MPM UTM akan terus memperjuangkan isu Sri Putri ini agar tindakan yang akan diambil nanti memberi kebaikan kepada semua warga kampus.
Sekian, terima kasih
KU ABD MUHYI BIN KU ABD HAMID
PENGERUSI
JABATAN KEBAJIKAN DAN PELESTARIAN KAMPUS
MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
No comments:
Post a Comment