Monday, May 16, 2011

Selamat Hari Guru kepada semua guru se-Malaysia

Assalamualaikum w.b.t...

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah atas kurniaan nikmat iman dan islam kepada kita hingga hari ini yang membolehkan kita untuk terus berkhidmat kepadaNya.

Seperti biasa pada tanggal 16Mei pada setiap tahun merupakan Hari Guru yang disambut di setiap sekolah di seluruh Malaysia tidak kira samada peringkat kebangsaan, negeri, daerah mahupun sekolah sambutannya akan diadakan. Bergantung kepada kreativiti penganjur samada nak menganjurkan sambutan berbentuk perarakan, sukaneka, perhimpunan dan macam-macam lagi. Pada waktu ni juga lah ramai adik-adik di sekolah akan minta pada mak ayah untuk beli hadiah bagi pada cikgu, masing-masing akan bertanding hadiah siapa paling hebat dan paling mahal. Tak cukup dengan itu maka bertanding juga kad ucapan siapa paling cantik dan paling kreatif. Itulah yang difahami oleh adik-adik sekolah rendah.

Beralih pada sekolah menengah, rata-rata pelajarnya makin matang dan mula belajar tentang erti sambutan Hari Guru, maka semua tu bukanlah perkara utama yang dibuat sempena sambutan Hari Guru. maka dibuatlah kenduri doa selamat dan sedikit jamuan kesyukuran. Diberikan layanan umpama raja sepanjang hari. Tapi mungkin juga masih ada segelintir yang agaknya kurang faham erti sebenar sambutan Hari Guru itu. apa yang dibuat di sekolah rendah masih dibuat di sekolah menengah, kononnya ini lah amalan tradisi untuk Hari Guru. wahh, macam tu pun ada ya..

Tak banyak yang diinginkan sebagai hadiah oleh seorang guru melainkan anak-anak muridnya berjaya dalam hidup masing-masing. Itu sudah cukup menggembirakan mereka berbanding hadiah yang kita berikan sempena sambutan Hari Guru, tapi tak bermaksud menyambutnya itu salah. Meraikan dan memuliakan seorang guru itu besar pahalanya. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud "para ulama itu adalah pewaris para nabi" dan " martabat seorang guru itu menghampiri martabat seorang nabi". Maka semestinya kita memuliakan mereka semua terutamanya para ulama yang sentiasa menjadi guru kepada umat Islam dalam menyelesaikan persoalan dan permasalahan agama. Mereka inilah golongan yang sepatutnya paling awal dimuliakan.

Namun realiti hari ini amat menyedihkan apabila guru dihina dan dicerca sewenang-wenangnya bahkan kadang kala dimuatkan dalam akhbar dan berita tentang waris saman guru, pelajar belasah guru, kenderaan guru disabotaj bahkan macam-macam lagi. Di mana letaknya kemuliaan seorang guru? sekadar satu hari sambutan sudah cukup? Sedih bila lihat keadaan lebih parah bila ibu bapa meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada guru di sekolah untuk mendidik anak-anak mereka hinggakan mereka sendiri mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa, masakan boleh ada pelajar sekolah menengah yang masih belum tahu mengaji, bahkan tidak pernah solat. tidak kurang yang tidak pernah tahu apa itu Islam sedangkan namanya Islam. Salah siapakah semua ini? Sebab itu tanggungjawab seorang guru sangat berat sekarang. Mereka bukan hanya mendidik anak muridnya, bahkan mereka umpama ibu bapa yang mencorakkan anak-anak bangsa kita. Jika dulu, seorang ibu kalau hantar anaknya ke sekolah pasti dibekalkan sebatang rotan kepada guru itu dididik anaknya itu hingga berjaya. Tapi kini, baru dicubit dah diserang dengan parang. Mulianya pengorbanan seorang guru.

Selamat Hari Guru kepada semua guru yang pernah mengajar saya selama ini, bermula dengan Cikgu Nomi di Taski Abim Taman Sri Melati, Selayang. Cikgu Sofiah, PASTI AL-FATHONAH Kampung Lubuk Kawah, Cikgu-cikgu di Sekolah Kebangsaan Anak-anak Angkatan Tentera, Kem Tok Jalai, Cikgu-cikgu Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani Kedah, para pensyarah Kolej Matrikulasi Perlis dan juga Universiti Teknologi Malaysia. Tak lupa juga pada semua kenalan, dan kawan-kawan yang sudah menjadi guru dan bakal menjadi guru. Teruskanlah usaha murni anda semua, jangan sesekali pernah menyesal kerana menjadi seorang guru. Biar kita tak dimuliakan di dunia, asalkan di akhirat kita di muliakan. Didiklah anak-anak bangsa dengan nilai Islam dan Iman sebenar agar generasi akan datang dapat membentuk sebuah masyarakat Islam yang Rabbani. Bersabarlah dalam menjalani ujian sebagai seorang guru. Kemulianmu di puncak. Seorang murid akan hilang gelaran muridnya bila tamat pengajian, seorang peguam akan hilang panggilannya bila habis perkhidmatannya, tapi seorang guru akan kekal menjadi seorang guru buat selamanya..


Sajak ini merupakan karya Usman Awang, dedikasi khas buat semua para guru seluruh Malaysia


BERBURU ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


USMAN AWANG
1979


Selamat Hari Guru

"Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara"


Universiti Teknologi Malaysia ~ 4 tahun (alhamdulillah dah selesai...)

Kolej Matrikulasi Perlis~ 1Tahun..penuh kenangan~

Sek Men Sains Sultan Mohd Jiwa~ 5 Tahun, disinilah pemimpin dilahirkan~ berilmu dan berbudi

SKAAT~ 6Tahun [penuh ragam zaman kanak2]

PASTI ~ 1Tahun...belajar tentang didikan agama..



2 comments: