
Kita wajar ikhlas murnikan sumber kuasa bangsa,
menghakis label-label bongkak yang disusup puaka;
Kini para bangken sedang berlindung di sebaliknya,
dengan media gergasi pertajam taring dusta
Cendekia muda kini tenaga tulus dan waja,
semakin cekal bangkit sebagai wewira perobah.
Mereka tangani kuasa cemar berlendir dosa,
berazam melawannya demi mengharum satu era.
Pening gas dan pedih air mencemar dekad merdeka:
kuasa bobrok ghairah merongrong demokrasi luka.
Kita wajar mensyahdukan benih kuasa yang sakti
dan dengan khusyuk mendeklamasi puisi berani
Semua ini lara, dan kita tetap menyembuhkannya.
Ya, kita dakapi demokrasi tulen seakrabnya.
A Samad Said
Puisi ini telah dideklamasikan oleh Pak Samad sempena Majlis Pelancaran Kempen 'Jom Baca Media Alternatif' di Kuala Lumpur Chinese Assembly Hall (KLSCAH) pada 7 Ogos 2011 yang lalu..
Nice this poem... =)
ReplyDelete